Sabtu, 14 April 2007

Dewan Rakyat Hangat Bahas Dasar Kependudukan Negara

Kuala Lumpur, Isnin 9 Okt.- Dewan Rakyat menjadi hangat petang semalam apabila usul dari wakil pembangkang, Salehudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) diterima hampir sebulat suara oleh ahli-ahli Dewan.

Terdahulu daripada itu Menteri Pembangunan Keluarga dan Pembangunan Sosial Datuk Shahrizat Jalil mencadangkan Malaysia menggubal dasar kependudukan bagi mencapai sasaran menambah penduduk Malaysia kepada 70 juta orang pada tahun 2020. Ini penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara yang begitu malap akibat kemerosotan ekonomi global.

“Sekiranya ekspot kita menurun maka kita perlu mencari pasaran baru. Dan mana yang lebih baik daripada pasaran di dalam negeri,” kata beliau ketika berucap di Parlimen.

Selepas itu Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) selaku Ketua Pembangkang bangun mencadangkan kerajaan menurunkan harga petrol dan disel mengikut harga minyak di pasaran dunia.

“Tidak mengapa kalau keuntungan Petronas berkurangan sedikit asalkan majority rakyat menikmati keselesaan membeli-belah menjelang perayaan Hari Raya dan Deepavali tidak lama lagi,” jelas beliau.

Ketika itu bangun Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Velu mencadangkan sesuatu yang mendapat tepukan gemuruh ahli-ahli dewan yang mewakili BN.

“Kita berjanji tida akan menaikkan tol menjelang Hari Raya dan Deepavalli ini,” beliau berucap dengan bangganya.

Ketika itu bangun Datin Seri Dr Wan Azizah (PKR-Permatang Pauh) menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan ISA menjelang hari perayaan.

“Kita menggesa kerajaan sama ada membebaskan mereka atau membicarakan mereka di mahkamah terbuka,” ucap beliau ketika mengakhiri ucapan.

Salehudin (PAS-Kubang Kerian) mencadangkan kerajaan mempromosikan dan menggubal dasar yang menggalakkan poligami di kalangan orang-orang lelaki yang bersikap adil dan berkemampuan.

“Sekiranya kaum wanita melebihi kaum lelaki dengan nisbah 5:1 maka kita perlu mengubah dasar dan peraturan supaya senang kaum lelaki menikah lebih dari satu,” kata beliau ketika membahaskan ucapan.

Dewan menjadi tegang seketika apabila ramai ahli-ahli dewan di kalangan wanita bangun membantah. Walau bagaimana pun dewan bertukar menjadi gamat kerana ahli-ahli dewan rakyat dari kalangan lelaki telah memberikan tepukan gemuruh kepada ucapan Salehudin, termasuk dari kalangan bukan Islam (lelaki) dari Sabah dan Sarawak.

Speaker Dewan mengambil masa hampir 15 minit untuk mententeramkan suasana dewan. Ketika menerima usul itu untuk diundi dibahaskan hampir semua ahli dewan rakyat di kalangan lelaki termasuk dari kalangan bukan Islam (lelaki) dari Sabah dan Sarawak menyokong, manakala hampir kesemua ahli dewan dari kalangan wanita tidak menyokong.

Kajian rambang yang dijalankan pemberita di sekitar Jalan Masjid India dan Masjid Kg Baru selepas solat zohor tengah hari tadi mendapati maklum balas orang ramai adalah bercampur-campur. Namun apa yang jelas ialah kesemua kaum lelaki menyokong sementara sebahagian besar kaum wanita menolaknya.

(sumber: Imaginasi Penulis Blog ini 2006)

Halangan Berpoligami

Perbincangan tentang poligami dan isu-isu berkaitan dengannya memerlukan ruang yang luas dan masa yang panjang.

Tetapi disebabkan masa yang terhad dan peluang yang sentiasa dihambat bermacam-macam keperluan hidup seharian saya akan menyentuh satu aspek sahaja di setiap entri yang saya post di blog ini.

Kali ini saya menyentuh tentang beberapa halangan berpoligami.

Untuk berpoligami halangan yang pertama ialah diri orang lelaki itu sendiri. Dia mungkin berkemampuan, sihat tubuh badan dan dikurniakan rezeki yang banyak. Dari segi didikan Islam juga, mampu mengajak isteri dan keluarga ke arah hidup beragama.

Tetapi jika dia tidak beringinan, maka tidak akan berlaku poligami. Mungkin ibunya di kampong menyarankan dia mengambil seorang lagi isteri, tetapi dia tidak mahu.

Jika ia tidak berkemahuan maka poligami tidak akan terjadi.

Halangan kedua ialah calon isteri kedua. Seseorang lelaki mungkin berkeinginan dan mungkin telah ada calon dia sukai. Tetapi belum tentu wanita yang dia sukai itu tidak sudi menjadi isteri kedua.

Ramainya bilangan wanita melebihi lelaki agak ketara mutakhir ini. Lihat sahaja di mana-mana, sama ada di pejabat kerajaan, swasta atau di IPTA/IPTS, kita tidak dapat tidak akan perasan akan fenomena ini.

Ketika anak saya mendaftar masuk ke sebuah IPTA, dia memberitahu saya dari sepluk blok asrama pelajar di IPTA itu, 3 blok sahaja pelajar lelaki sedangkan 7 blok lagi pelajar wanita. Ertinya bagi setiap 10 orang pelajar yang mendaftar, 7 orang ialah pelajar wanita.

Tidak hairanlah jika ada siswi yang rela memilih lelaki yang sudah beristeri sebagai teman lelaki, langsung bakal isteri kedua.

Tetapi sebagaimana saya sebut tadi, belum tentu wanita itu sanggup menjadi isteri kedua. Jika wanita itu sanggup pun belum tentu ibubapanya setuju menerima pinangan lelaki yang sudah beristeri.

Umum mengetahui kes seorang wanita terkenal tanah air yang berkahwin seorang lelaki yang telah beristeri dan punya beberapa orang anak. Ada orang menyangka wanita berkenaan akan jadi isteri muda lelaki berkenaan, tetapi akhirnya lelaki itu menceraikan isteri pertama beliau, sebelum berkahwin dengan wanita berkenaan.

Maka halangan kedua berpoligami ialah wanita yang bakal dijadikan isteri muda. [Di entri akan datang saya akan mengulas tentang halangan ketiga: isteri pertama]

Statistik Poligami Bagi Semua Negeri-Negeri Di Malaysia

Di dalam jangka masa 10 tahun dari tahun 1995 hingga 2004, jumlah tertinggi jumlah poligami ialah pada tahun 2002 iaitu 2,604 pasangan, manakala yang paling sedikit ialah pada tahun 2004 iaitu 651 pasangan. Di antara semua negeri-negeri di Malaysia, Kelantan negeri-negeri lain dengan 1,331 pasangan, manakala yang paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Labuan dengan 4 pasangan. Di Melaka tiada kes yang dilapurkan.

Perangkaan ini dipetik dari sumber JAKIM. Pembaca yang berminat mengetahui perincian statistik tersebut boleh membaca di link laman wen JAKIM ini:

http://www.islam.gov.my/informasi/statistikpoligamiseluruhmalaysia.html

Adakah bermakna, wanita-wanita tidak gemar mengahwini lelaki dari Kelantan, kerana "risiko" dimadukan begitu tinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain?

Lelaki Beristeri Empat Memberi Tip Poligami Yang Berjaya

UNAIZAH, 10 Sept 2006 -
“Saya berpoligami bukan kerana seks semata-mata,” sanggah Abu Mahdi, seorang warga emas berumur enam puluh dua tahun bila ditanya mengenai tuduhan yang mengatakan amalan poligami adalah hanya untuk keseronokan seks. Warga Arab Saudi yang berasal dari Unaizah, Wilayah Qasim ini mempunyai empat orang isteri. Dia menambah, “Saya ingin menambah zuriat keturunan.”

“Nabi Muhammad (S.A.W) menyarankan umat Islam menambah zuriat,“ kata beliau. “Lebih ramai anak kita, bererti lebih ramailah umat Islam.”

Abu Mahdi mengahwini isteri pertama beliau ketika beliau berumur dua puluh enam tahun. Menurut Abu Mahdi kaum kerabat bakal isterinya yang pertama itu berunding lama sebelum menerima lamaran beliau.

“Mereka bertanya tentang latar belakang dan kaum kerabat saya secara terperinci.”

Sepuluh tahun selepas itu beliau mengahwini isteri kedua.

Ketika beliau berumur empat puluh satu tahun, iaitu lima tahun selepas berkahwin dengan isteri kedua, beliau mengahwini pula isteri ketiga.

Lapan belas tahun kemudian, iaitu ketika bila berumur lima puluh sembilan tahun, beliau berkahwin pula dengan isteri keempat yang berumur dua puluh tahun.

Mahdi, anak sulung Abu Mahdi berumur tiga puluh satu tahun dan anak-anak yang lain tidak membantah beliau berpoligami.

Daripada semua perkahwinan itu mereka dikurniakan dua puluh lima orang cahaya mata dan apabila dicampurkan kesemua ahli keluarga beliau termasuk cucu-cucu beliau, jumlahnya ialah tujuh puluh (70) orang. Abu Mahdi berkata, “Saya bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.”

Walaupun Islam membenarkan orang lelaki beristeri sehingga empat orang, tetapi oleh kerana kos kehidupan yang tinggi, tidak ramai warga Arab Saudi berpoligami.

Abu Mahdi tidak bersetuju dengan pendapat berkeluarga kecil adalah lebih baik. “Sebagai orang Islam kita percaya Allah akan memberi rezeki untuk setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini.”

Beliau berkata warga lelaki Arab Saudi hari ini lebih cenderung mengahwini wanita-wanita yang bekerja.

“Sepatutnya mereka tidak mementingkan taraf kewangan, sebaliknya hendaklah memilih wanita-wanita baik yang beriman, berpendidikan agama dan bersedia melahirkan anak,“ tambah beliau.

Beristeri seorang pun sudah cukup membebankan dengan berpendapatan beliau yang sederhana itu apatah lagi beristeri empat. Bila ditanya bagaimana beliau mampu menyara keluarga yang besar itu beliau menjawab dengan menyebut pepatah Arab, “Hulurkan kaki anda mengikut keluasan katil anda.”

Beliau berkata wang tidak menjadi masalah utama, asalkan kita bersyukur dengan rezeki Allah.

Abu Mahdi tidak pernah keluar dari Wilayah Qasim sejak tahun 1970 lagi kerana menjaga keluarga besar beliau itu. Tetapi beliau merasa bahagia.

Abu Mahdi berkata mengahwini wanita kedua ada kelebihan yang tersendiri. “Mendapat isteri baru umpama memakai jubah yang baru,” kata beliau sambil tersenyum, merujuk kepada jubah putih yang dipakai kebanyakan lelaki dari negara-negara Arab.

Beliau berpendapat terdapat dua kategori isteri iaitu: “Isteri yang membuat suami ceria, dan satu lagi yang membuat suami sengsara.”

“Saya dikurniakan isteri-isteri yang baik. Dan para doktor berkata beristeri lebih daripada seorang membuat saya jadi lebih sihat.”

Beliau berpendapat keikhlasan adalah syarat utama kebahagiaan berpoligami.

“Isteri perlu diberitahu perkara sebenar,” katanya. “Bila saya melamar bakal isteri kedua saya, saya tidak mengaku bujang. Saya berterus-terang mengatakan saya sudah beristeri.”

Jikalau beliau mengaku bujang dan kemudian mereka mendapat saya sudah beristeri, tentulah mereka tidak percayakan beliau lagi. Beliau tidak memaksa seseorang wanita menerima lamaran beliau, kerana seorang wanita berhak menerima atau menolak lamaran lelaki.

Bila ditanya bagaimana beliau melayan isteri-isteri sedangkan jurang perbezaan umur beliau dengan mereka begitu ketara, beliau menjawab beliau belajar memahami mereka. “Yang penting suami faham apa yang isteri tidak suka. Dengan itu saya dapat mengelakkan situasi silap faham dan persengketaan,“ tambah beliau.

Abu Mahdi menggilirkan hari beliau tinggal di rumah keempat-empat orang isteri beliau secara sama rata. Sekali seminggu beliau kumpulkan semua isteri-isteri dan anak-anak di salah sebuah rumah mereka. Beliau sentiasa membina hubungan baik dan rapat dengan anak-anak beliau. “Bila saya tidak dapat bertemu, saya akan menelefon mereka.”

Menurut Abu Mahdi, selain keikhlasan, satu lagi syarat kejayaan berpoligami ialah berlaku adil. Dia berkata: “Saya memberi layanan sama rata dan adil dari segi nafkah dan material. Walau bagaimana pun, saya akui kasih sayang yang saya rasakan terhadap isteri-isteri saya itu tidak sama. Ini menjadi kebiasaan hati manusia.”

Keluhan Seorang Isteri Kedua

"Saya isteri kedua yang taat pada suami dan taat pada hukum Allah. Saya sudah berumahtangga selama 5 tahun namun, Poligami ini hanya berasaskan kahwin 2, namun dari hari perkahwinan saya sehingga kini saya ditinggalkan seorang di KL, suami saya bersama isteri pertama & anak sorang di Ipoh.


"Alasan diberi kerana beliau kerja disana. Saya hanya dijenguk 2 kali dalam sebulan selainnya dihabiskan disana bersama isteri pertama. Bila suami ingin pulang kemari, saya akan dikunjungi sms tidak puas hati dari isteri pertama menyatakan minggu lepas suami sudah pulang ke KL, minggu ini pulang lagi, tapi hari hari biasanya 24 jam beliau dapat menghabiskan masa bersama suami tercinta. Setiap malam dapat bersamanya.

"Saya?? terus ditinggalkan tanpa memikirkan zahir & batin saya terseksa. Saya masih tidak punya rezeki untuk memperolehi anak. Saya bekerja sbg Executive di syarikat swasta disini,namun kesunyian saya alami telah membuat saya mengambil anak angkat yang baru lahir. Beliau berumur enam bulan sekarang,namun saya dan anak ini masih ditinggalkan.


"Saya fikir bila saya sudah ada anak, beliau akan selalu pulang menjenguk kami dan berlaku adil namun harapan saya hanya tinggal harapan.

"Bila diutarakan mengenai keadilan, saya dipukul olehnya. Entahlah, sebelum berkahwin dulu, beliau menyatakan beliau tidak bahagia dengan perkahwinan pertamanya itu.

"Namun sekarang, apa yang saya lihat masa 24jam dihabiskan disana dan langsung tidak menghiraukan kami membuat saya inginkan penceraian. Saya sudah putus asa ingin meneruskan perkahwinan saya ini."


Begitulah secebis kisah kehidupan yang menyayat hati. Apa pendapat anda tentang masalah ini?

Poligami: Perbincangan Yang Tidak Kunjung Habis

Marilah kita berbincang secara logik dan rasional di dalam suasana aman dan mesra. Tetapi kalau sesekali perkataan beremosi akan kita memahaminya.

Bagi membuka tirai, kita beri pendapat setuju atau tidak. Kemudian berikan hujjah menyokong pendirian kit aitu.

Setuju?

Jumaat, 13 April 2007

Pembersihan Kerajaan Bangladesh

Kerajaan sementara (caretaker government) yang disokong oleh pihak tentera telah mengambil tindakan terhadap dua wanita pemimpin politik utama negara itu di dalam usaha membersihkan korupsi dan penyalahgunaan kuasa oleh dua parti utama parti politik pimpinan kedua-dua wanita itu.

Hasina Wajed, 61 tahun, pemimpin parti pembangkang Awami dan bekas perdana menteri, dikenakan tuduhan membunuh empat orang penyokong politik lawan di dalam kekacauan politik tahun lalu.

Sementara Khaleda Zia perdana menteri yang hampir tamat pemerintahannya pula, dikenakan tahanan di rumah di ibu negara Dhaka.

Bangladesh mempunyai rakyat berjumlah 144 juta orang merupakan negara majoriti umat Islam ketiga terbesar di dunia, telah mengalami pentadbiran buruk sejak dari tahun 1971 lagi.

Rakyat Bangladesh amat mengalu-alukan tindakan kerajaan sementara yang bertindak membanteras gejala politik yang tidak sihat itu.

"Bila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, tunggulah kemusnahannya."

Rabu, 11 April 2007

Janda Baik Lagi




Oleh kerana anak-anak saya teringin untuk berkelah dan mandi-manda di sungai yang agak terpencil dan jauh dari hiruk-pikuk taman rekreasi biasa, kami berkunjung ke Janda Baik lagi.

Lebuhraya Karak agak lengang di pagi Ahad 8 April yang lalu dan sekejap sahaja kami sudah sampai di tepi sungai itu.

Anak-anak saya gembira sekali mandi dan bersantai di sungai itu. Airnya dingin dan nyaman dan saya rasakan seolah-olah berada di dalam jacuzzi sahaja layaknya.

Kami hidupkan api dengan menggunakan dahan-dahan, ranting dan daun-daun kering yang terdapat di kawasan tersebut.

Selepas puas berendam dan berkelah kami menuju ke masjid di situ untuk bersolat Zohor.

Kami tidak berkunjung ke Semanggol kerana Puan SifuPTS sedang berada di Leiden, Belanda ketika ini.

Selepas menjamu selera makan tengah hari di sebuah gerai makan masakan Minang kami pun pulang ke Lembah Kelang.

Sabtu, 7 April 2007

Iran Membebaskan Anggota Marin Britain

Setelah hampir dua minggu Iran menahan 15 anggota marin Britain, Presiden memberi pengampunan kepada mereka dan membebaskan mereka.

Iran bertegas anggota marin itu memasuki perairan Iran, sementara Britain berkata mereka masih di perairan Iraq semasa ditahan tentera laut Iran.

Walau bagaimana pun ada pemerhati politik antarabangsa mengatakan anggota marin Britain itu dibebaskan setelah satu persetujuan dibuat supaya Amerika membebaskan beberapa anggota diplomatik Iran yang ditahan di Iraq dan di Turki.

Mungkin kita membaca berita yang diolah seperti tiada rundingan mengenai tahanan Iran itu, tetapi bagi pembaca yang memahami seni politik di persada antarabangsa akan dapat membaca segala sandiwara atau pun membezakan apa yang dipanggil 'cerita rasmi' daripada 'cerita sebenar'

RINDUKU TERPAKU



Sudah semusim berlalu
mataku terkaku di sini
rinduku masih di hati
terpaku bersendiri

Melodi nan merdu
memukau
gemersik di jiwa
aduhai...