Memaparkan catatan dengan label PBAKL 2009. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PBAKL 2009. Papar semua catatan

Sabtu, 25 April 2009

Pesta Buku PBAKL 2009



Pada hari Khamis, 23 April yang lalu saya berada di hadapan gerai PTS di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL 2009) dalam satu majlis mempromosi buku karangan saya, antaranya ialah Meredah Samudera.

Terima kasih kepada para pengunjung dan para pembaca yang sudi berkunjung ke sana dan kepada pembaca yang sudi membeli atau membaca buku 'Meredah Samudera.'

Sempat berkunjung tiga kali ke pesta buku tahun ini

Timbunan buku disediakan sebagai persediaan menunggu para pengunjung tegar buku Bahasa Melayu yang akan menyerbu gerai PTS sebentar lagi.

Buku karya mentor jurujual tersohor, Brian Tracy, yang telah saya terjemahkan ke Bahasa Melayu menghiasi salah satu daripada rak di gerai 72 - 79.

Buku karangan bersama saya dan Saudara Zamri Mohamad yang berjudul 'Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah, dapat dilihat di celah-celah buku karangan para penulis terkenal PTS.

Beberapa buah buku karya serta terjemahan saya disusun di meja ketika segmen yang membariskan saya dengan penulis novel remaja, Kusyi Hirdan.

Saya dan Kusyi Hirdan sedang tersenyum mendengar celoteh yang menarik dari Tuan Alif Firdaus yang mengumumkan kehadiran kami di depan gerai PTS.

Anak saya, Imah, mengambil peluang untuk bergambar dengan salah seorang penulis pujaan beliau, Kusyi Hirdan.

Salah seorang pengunjung gerai PTS, Cik Azzah Abdul Rahman, telah bergambar dengan saya dengan buku terjemahan saya, The Art of Closing the Sale, karya Brian Tracy. Beliau juga telah berpeluang membaca buku 'Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah' dan antara komen beliau mengenai buku itu ialah: "Untuk pengetahuan En Imran, buku Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah itu menarik minat ibu dan kakak saya, sehingga ibu meminjam buku itu dari saya dan kakak pula membelinya..."

Pengunjung yang membelek buku Di Bawah Payung Aishah


Antara pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2009) yang datang ke gerai PTS.

Mereka sempat membelek buku 'Di Bawah Payung Aishah: Tip-Tip Poligami' dan kemudian berlalu pergi.

Saya percaya mereka datang ke gerai itu kemudian untuk membeli buku itu serta buku sebuah lagi mengenai poligami yang diterbitkan oleh PTS, iaitu 'Bahagia Dengan Poligami.'

Terima kasih serta syabas kerana sudi membelek buku saya ketika saya berada di meja penulis hari itu.

Kusyi Hirdan pun ada juga pada hari itu bagi mempromosi novel-novel karangan beliau.

Suasana Pesta Buku PBAKL 2009 (5)

Hari ini saya dibariskan bersama Kusyi Hirdan, penulis novel remaja yang tidak asing lagi di kalangan peminat novel remaja PTS-One.

Waktu masih awal pagi, jadi kelihatan pengunjung baru mulai sampai berhampiran gerai no. 72 - 79, iaitu gerai PTS.

Salah seorang pelajar sekolah sekolah yang berjaya menjawab quiz bagi para pengunjung gerai PTS.

Seorang lagi pelajar sekolah yang berjaya menjawab quiz yang dianjurkan bagi para pengunjung gerai PTS. Secara kebetulan nama pelajar ini ialah Ali Imran, hampir sama dengan nama saya.

Mengambil kesempatan bergambar dengan Tuan Osman Affan, motivator pelajar sekolah yang terkenal di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru-guru.

Suasana Pesta Buku PBAKL 2009 (4)



Pada hari Rabu, 22 April saya dan saudara Zamri Mohamad diraikan oleh PTS Millennia di segmen penulis bersama pembaca bagi Pesta Buku Antarabangsa KL 2009.

Selain beberapa buku karya beliau dan karya saya, buku utama yang dipromosi pada sesi hari ini ialah buku 'Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah' iaitu tulisan saya dan Zamri.

Gambar yang dipamerkan di sini ialah gambar yang diambil pada pesta tahun lalu, kerana gambar untuk pesta tahun ini belum didapati dari pihak yang mengambil gambar pada hari itu lagi.

Khamis, 23 April 2009

Lagi tentang pilihan saya



Hari ini kali kedua saya hadir di majlis penulis yang diseliakan oleh Tuan Alif Firdaus, PTS-One.

Walau pun tujuan asal ialah untuk mempromosikan buku terjemahan Sherlock Holmes yang saya usahakan bersama beberapa orang penulis lain, namun oleh kerana buku itu kehabisan stok dan menunggu untuk dicetak semula, maka buku saya yang lain diletakkan atas meja untuk dipromosikan.

Kali ini saya dibariskan bersama Kusyi Hirdan, penulis novel remaja yang tidak asing lagi bagi peminat novel remaja PTS.

Dua peristiwa kecil pula hari ini yang sekali lagi melibatkan buku Di Bawah Payung Aishah.

Pertama, seorang perempuan bertubung serta seorang lelaki (tentu suaminya) berketayap membelek buku itu di depan meja saya. Dia bertanya, "Encik sudah bersiteri empat?"

Saya menjawab, "Belum lagi."

Beliau membelek lagi dan selepas itu meletakkan semula buku itu dan beredar dari situ.

Peristiwa kedua, dua orang wanita, seorang bertudung, manakala seorang lagi tidak, telah melintas di depan meja kami sambil menoleh ke arah buku itu. Yang bertudung berkata, "Ya Allah! Tip-Tip Poligami?!"

"Should be banned!" kata yang tidak bertudung. ("Patut diharamkan!"). Kedua-duanya beredar tanpa singgah di meja kami.

Peristiwa hari ini juga membuat saya berfikir tentang beberapa pilihan yang ada pada saya...

Jumaat, 3 April 2009

Saya akan ke Pesta Buku PBAKL 2009



Memang saya tunggukan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Malah sebelum ini pun sudah dua tahun berturut-turur saya berkunjung ke pesta buku ini, iaitu tahun 2007 dan 2008.

Semalam saya menerima panggilan telefon dari Tuan Alif Firdaus dari PTS One memaklumkan slot penulis semasa PBAKL 2009 untuk saya akan disediakan oleh PTS One pada 23 April. Saya telah bersetuju untuk hadir meraikan pesta itu.

Hari ini pula saya menerima panggilan telefon dari Cik Syikin dari PTS Millennia pula yang memaklumkan slot saya yang disediakan oleh PTS Millennia ialah pada 22 April, iaitu sehari sebelum slot yang disediakan oleh PTS One.

Maknanya saya akan ke pesta itu dua hari berturut-turut demi meraikan slot yang disediakan. Itu belum termasuk hari untuk slot yang mungkin disediakan oleh PTS Islamika dan PTS Profesional.

Apa pun, saya pasti anak-anak saya tidak akan melepaskan peluang 'menebuk lubang yang luas' pada dompet saya pada tahun ini!

Bagi penulis, pembaca serta peminat buku serta peminat sastera tidak akan melepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan satu acara tahunan yang paling penting dalam jadual para penggerak dalam industri buku tanah air.

JUMPA DI SANA!

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009



Setiap kali diadakan Pesta Buku Anarabangsa Kuala Lumpur, setiap kali pula para pelajar sekolah akan menanti pesta buku yang terbesar di negara ini.

Memang para pelajar menanti-nantikan acara tahunan ini kerana mungkin itulah satu-satunya peluang mereka menatap buku kegemaran mereka serta ibu bapa menyediakan wang khusus untuk mereka berbelanja membeli buku yang mereka sukai.

Pesta tahun 2009 ini akan diadakan dari 17 hingga 26 April di PWTC, iaitu di waktu tengah bulan yang boleh dikira waktu 'poket kering' oleh para ibu bapa yang bekerja makan gaji.

Bagi pelajar yang ibu bapa mereka bekerja sendiri, ini tidak menjadi masalah.

Apa pun pesta ini berakhir pada 26 April, jadi bagi pelajar yang ibu bapa mereka menerima gaji pada 23 haribulan, masih sempat membeli buku, walau pun mungkin terlepas peluang bertemu dengan penulis yang mereka minati sekiranya penulis itu diberikan slot sebelum tarikh tersebut.

Sila baca lagi DI SINI.