Sabtu, 30 Mei 2009

Pesta buku Read Malaysia 2009

Hari ini hari pertama pesta buku Read Malaysia yang diadakan di MIECC di Seri Kembangan, Serdang.

Saya sempat meninjau tapak pesta bagi mendapatkan gambaran suasan di sana. Berikut ialah beberapa gambar yang sempat dirakam semasa saya berada di sana.

Antara buku yang paling kontroversi terbitan PTS.

Banting yang memaparkan empat buah buku terbitan PTS yang mana judulnya menggunakan nama isteri Rasulullah (S.A.W.).


Gerai PTS masih kelihatan lengang pada hari pertama pesta buku Read Malaysia, tetapi suasana esok masih belum dapat dijangka.

Anak saya berdiri berdekatan banting yang memaparkan watak kesukaan beliau.

Anak saya berjalan pulang membawa buah tangan dari gerai PTS sempena Read Malaysia...!

JUMPA DI SANA...

Khamis, 21 Mei 2009

Lanun Somalia ingin diberkas?



Pada bulan Januari yang lalu lima orang warga Somalia diberkas atas tuduhan melakukan serangan ke atas MV Samanyulo, sebuah kapal dagang yang didaftar di Wilayah Dutch Antilles.

Dua orang daripada mereka kelihatan berpuas hati kerana ditahan di negara Eropah. Menurut akhbar The Telegraph salah seorang dari mereka mengatakan bahawa kehidupan dalam penjara Belanda lebih "baik" daripada kehidupan di negaranya Somalia.

Manakala peguam bela kepada seorang lagi warga Somalia itu diberitakan berkata anak guamnya merasa selamat berada di penjara negara Barat. Dia hidup dalam keadaan miskin melarat di kampungnya, sedangkan di penjara Belanda dia dibenarkan bermain bola sepak dan menonton TV. Malah dia berpendapat tandas di penjara itu 'bagus' jika dibandingkan dengan kemudahan di kampungnya di Somalia. Dia berhasrat apabila dia keluar penjara, dia akan meminta isteri dan anaknya datang ke Belanda.

Melihat perkembangan ini, Geert-Jan Knoop, seorang peguam perundangan jenayah antarabangsa, berpendapat bahawa ahli gerombolan lanun akan membiarkan diri mereka diberkas oleh pihak tentera laut dari negara barat, semata-mata dengan tujuan untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik, walau pun dalam penjara di barat.

Baca lebih lanjut DI SINI.

Rabu, 20 Mei 2009

Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah dalam Berita Harian




Pagi tadi semasa saya baru sahaja sampai ke rumah setelah pulang dari membeli ikan di pasar bersama isteri, saya menerima suatu pesanan SMS dari Saudara Zamri Mohamad, iaitu penulis bersama buku Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah.

Demikian bunyi pesanan SMS: "Tuan, ulasan buku kita dalam Berita Harian hari ini."

Serta merta saya mengambil kunci kereta dan bergegas ke kedai berhampiran yang terletak tidak sampai satu kilometer dari rumah saya, lalu membeli dua naskhah (ya, dua nakhah!!).

Setelah saya membuka akhbar itu dan membelek-belek mencari ulasan itu, maka berjumpalah ulasan itu di mukasurat 30.

Apabila saya membuka laman web akhbar berkenaan, saya menjumpai ulasan versi elektronik DI SINI.

Tidak lama selepas itu saya pun menghantar pesanan SMS kepada anak saya, Noraini yang berbunyi: "Sila beli Berita Harian dan lihat di muka surat 30..."

Sebelum ini pun buku karya yang satu lagi, iaitu Meredah Samudera pernah diulas dalam media cetak seperti akhbar Harian Sinar dan majalah i-Remaja.

Terasa seperti berjalan di awang-awangan sehari suntuk hari ini. Mungkin inilah perasaan setiap penulis yang memperoleh penghargaan di media cetak atau media elektronik, iaitu buku karyanya diberi liputan.

Barulah saya tahu, rupa-rupanya perasaan melihat buku mendapat liputan di media itu lebih berharga daripada perasaan seronok menerima cek royalti yang beribu ringgit.

Komen para penulis lain amat dialu-alukan.

Bengkel penulisan Bahasa Melayu Tinggi




Pada hari Sabtu lalu saya menghadiri bengkel penulisan PTS yang seperti biasa, dikendalikan oleh sendiri oleh Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS.

Topik yang dibincangkan pada bengkel hari itu ialah Bahasa Melayu Tinggi (BMT).

Sungguh menarik sekali topik itu kerana kami didedahkan dengan teori dan praktikal secara experiential learning yang merupakan cara latihan yang paling berkesan dijalankan oleh Puan Ainon.

Selepas selesai bengkel itu saya merasa tenang di hati dan bertambah yakin untuk terus berkarya menggunakan BMT.

Malah saya bertekad untuk menggunakan BMT dalam komunikasi di tempat kerja serta masyarakat demi menambahkan wibawa serta meningkatkan pengaruh diri sendiri di kalangan rakan serta ketua di tempat kerja dan dalam masyrakat.

Isnin, 18 Mei 2009

MISC tarik diri dari khidmat laluan Eropah



Antara tanda jelas betapa ekonomi dunia menguncup ialah kurangnya barang dagangan yang dibawa melalui khidmat kapal dagang.

Apabila berkurangnya barang dagangan diimpot dan ekspot maka pemilik kapal dagang akan terjejas teruk dalam sektor khidmat kontena laluan tetap.

Syarikat perkapalan kedua terbesar di Asia, MISC Berhad, telah mengumumkan bahawa syarikat itu akan menarik diri dari khidmat kapal kontena bagi laluan antara Timur Jauh dan Eropah mulai 1 Januari 2010, dan hanya akan menumpukan khidmat laluan antara negara Asia, terutama Timur Tengah, India dan Asia Tenggara.

Sehubungan dengan itu syarikat itu mengumumkan ia akan menarik diri dari pakatan konsortium Grand Alliance mulai pada tarikh tersebut.

Dalam perkembangan lain, MISC mengumumkan syarikat itu akan meluaskan khidmat penyelesaian LNG luar pantai dalam usaha sama dengan syarikat pemilik MISC, iaitu Petronas. Sati lagi rakan kongsi khidmat itu ialah Mustang Engineering.

Biarpun syarikat pemilik dan operator kapal LNG terbesar di dunia itu mengalami kemerosotan keuntungan sebanyak 76 peratus, namun syarikat itu berkeyakinan ia mampu mengharungi kemelut ekonomi dunia ini dengan menumpukan usahanya bagi mengukuhkan khidmat syarikat itu di sektor gas dan petroleum.

Baca selanjutnya DI SINI dan DI SINI.

Sabtu, 16 Mei 2009

ReadMalaysia selepas PBAKL2009 !!



Berita tentang satu lagi pesta buku selepas berlalunya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 sudah tentu menggembirakan para penulis semua.

Kita boleh mempromosi buku karangan kita lagi.

Bagi para pemain dalam industru buku pula, mereka dapat peluang sekali lagi mempamerkan dan menjulang jenama mereka serta buku-buku terbitan mereka.

Bagi pembaca buku khususnya para pelajar sekolah mereka dapat peluang membeli buku lagi.

Bagi anak saya pula, tentunya mereka akan menunggu peluang insentif dari saya.

Bagi saya? Nampaknya saya perlu menjahit dompet saya sekali lagi.

Mujurlah juga saya seorang penulis PTS, jadi dapatlah diskaun penulis dari PTS.

Terima kasih PTS.

Untuk maklumat mengenai pesta buku ReadMalaysia, baca DI SINI.

ReadMalaysia selepas PBAKL2009 !!



Selepas berlalunya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 baru-baru ini, tidak lama lagi ada satu lagi pesta buku yang tentunya menggembirakan para peminat serta pembaca buku semua.

Ya, ReadMalaysia!

Baca lagi DI SINI.

Jumaat, 15 Mei 2009

Terima kasih para pengunjung...



Sudah setahun novel Meredah Samudera diterbitkan.

Hari ini saya menerima komen dari seorang pembaca novel dan blog ini yang telah membaca tidak kurang daripada lima kali (!).

Komen ini beliau tulis di chatbox saya. Saya telah meletakkan salinan komen itu sebagai gambar bagi entri ini.

Pembaca yang memperkenalkan diri dengan menggunakan nama samaran Takkayang mengatakan novel Meredah Samudera begitu menyentuh perasaan.

Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada Sdr Tokkayang.

Beliau meminta ditambah lagi maklumat maritim di blog ini. Insya Allah, Sdr Tokkayang, saya akan menambah lagi dan saya berharap Sdr Tokkayang terus menyokong dan berkunjung ke blog Meredah Samudera ini.

Terima kasih juga kepada semua pengunjung serta pembaca novel Meredah Samudera.

Sokongan tuan-tuan dan puan-puan semua amat dihargai.

Terima kasih semua...

Selasa, 5 Mei 2009

Mengenang hari raya bagi penulis



Pesta buku merupakan suatu hari raya bagi mereka yang terlibat dengan industri buku, terutama sekali bagi para penulis.

Penulis disediakan ruangan khas untuk mempromosi buku, imej serta jenama mereka.

Antara penerbit yang paling mesra penulis ialah PTS.

Bagi saya PTS bukan sekadar penerbit buku saya, tetapi juga penerbit buku pilihan keluarga saya.

Setiap tahun pesta buku, nescaya saya perlu menyediakan insentif yang berpatutan untuk anak-anak saya rayakan.

Selepas pesta, saya perlu menjahit dompet saya yang 'berlubang' itu.

Pesta Buku Antarabangsa KL 2009 telah berlalu, namun saya percaya anak saya sentiasa menanti pesta buku pada tahun berikutnya.