Selasa, 20 November 2007

Kosovo Diberi Amaran Jangan Isytihar Merdeka

Akhbar maya Islamonline.net memetik kata-kata amaran dari para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) supaya Kosovo tidak mengisytihar merdeka dari Serbia secara unilateral, sebaik sahaja parti PDK pimpinan Hashim Thaci memenangi pilihanraya.

Parti mendapat 34 peratus undi mengalahkan parti kerajaan dahulu, LDK yang mendapat 22 peratus undi.

Kosovo tidak boleh merdeka dengan ‘tidak terurus’ kerana pihak Serbia dan Russia menentang keras kemerdekaan Kosovo. Kononnya Kosovo mesti mendapat sokongan pihak EU terlebih dahulu.

Kita percaya pihak EU sendiri sebenarnya tidak mahu membenarkan Kosovo merdeka, kerana dengan merdekanya Kosovo bererti akan wujudlah sebuah Negara umat Islam di benua Eropah.

Ini hanyalah suatu ulangan sejarah selepas peristiwa yang dihadapi oleh umat Islam di Bosnia Herzegovina pada tahun 1990’an dahulu. Ketika itu, pihak Eropah pun tidak mahu Bosnia merdeka sebagai sebuah Negara umat Islam. Pihak barat membiarkan sahaja umat Islam Bosnia diganasi oleh pihak Serbia sehingga beribu-ribu umat Islam Bosnia menjadi korban dan pelarian.

Bosnia dibiarkan menjerit dan berdarah dan seterusnya mati di tengah-tengah benua yang kononnya memperjuangan hak asasi manusia.

Hanya setelah negara-negara umat Islam, termasuk Iran, memberikan bantuan kepada Bosnia dari segi kewangan, senjata dan diplomatic sehingga hampir-hampir menghancurkan pihak Serbia, barulah Eropah dan Amerika beriya-iya membantu Bosnia.

Itu pun sebenarnya bukanlah ingin membantu Bosnia sangat, tetapi hanyalah semata-mata untuk menyelamatkan pihak Serbia daripada ditumpaskan secara total oleh umat Islam Bosnia.

Kita tunggu dan lihat apa lagi permainan pihak EU, Amerika dan kuncu-kuncu mereka dalam kes Kosovo ini.

0 ulasan: