Memaparkan catatan dengan label Poligami. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Poligami. Papar semua catatan

Rabu, 6 Ogos 2008

Ebadi protes undang-undang poligami Iran

Pemenang hadiah keamanan Nobel dari Iran, penyair Shirin Ebadi, pada hari Isnin lalu telah menyelar cadangan kerajaan meminda undang-undang yang akan memudahkan lelaki Iran mengamalkan poligami, kerana katanya langkah ini akan menyebabkan “pencemaran moral” dalam masyrakat.

Undang-Undang Perlindungan Keluarga --- yang akan dibahaskan di Parlimen republik Islam itu --- mengenepikan keperluan mendapat keizinan isteri pertama sekiranya si suami berhasrat berkahwin satu lagi. “Undang-undang ini akan mendatangkan keruntuhan dan pencemaran moral dalam masyarakat,” kata Shirin Ebadi ketika berucap dalam suatu perjumpaan tertutup yang dianjurkan oleh Pusat Pelindung Hak Asasi Manusia.

Undang-undang itu mensyaratkan lelaki yang berhasrat berpoligami memberikan butir-butir mengenai perkahwinan itu bagi membuktikan mereka mampu dari segi kewangan dan boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri mereka.

Akan tetapi Ebadi Shirin mengatakan syarat itu tidak memadai, dan menuduh undang-undang itu adalah suatu “kezaliman” bukan sahaja terhadap wanita, tetapi juga terhadap lelaki.
Undang-undang ini mengatakan “jika lelaki itu menjadi orang kaya baru, dia boleh berbuat sesuka hati,” kata beliau. “Bukankah ini satu penghinaan terhadap lelaki dan akan meruntuhkan asas keluarga?”

Para peguam kumpulan itu menggesa speaker parlimen Ali Larijani mengembalikan undang-undang itu kepada pihak kerajaan untuk dipinda.

(Komen saya: Dalam dunia Islam masih ada orang yang bersikap begini!!)

Sumber: AFP Teheran, Iran – 4 Ogos 2008 Terjemahan bebas: Imran Yusuf

Sabtu, 23 Februari 2008

Tip memilih pasangan poligami yang ideal!

"Hassan, kau dah ada dua orang isteri. Aku pun teringin juga nak cari isteri kedua. Apa pandangan kau?"
Dua orang sahabat sedang menikmati teh tarik dan roti canai di sebuah restoran di suatu kawasan perumahan di Lembah Kelang.
"Kau sudah ada calon?"
"Bakal calon itu ada lah. Cuma..."
"Cuma apa?"
"Cuma aku tidak pasti dia masih single atau single mum."
"Oh, kalau begitu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah, kalau kau tidak pasti dia sudah ada suami atau tidak."
"Maksud aku, Hassan, apa tip yang kau boleh berikan mengenai bakal pasangan poligami yang ideal?"
"Bakal yang ideal itu berbagai-bagai. Apa ciri-ciri yang kau mahu?"
"Aku yang tanya kau. Kau pula yang bertanya aku balik. Sebab kau pengamal poligami lah aku minta tip dari kau, Hassan."
"Beginilah, Man. Apa tujuan kau mahu beristeri lagi?"
Diam.
"Adakah kerana kau sudah tidak bahagia dengan isteri kau?"
Diam lagi. Masih tidak menjawab.
"Adakah kerana tidak lama lagi kau akan dapat keluarkan 1/3 daripada simpanan KWSP, maka kau rasa kau sudah mampu menampung belanja pergi ke Perlis untuk dapat berkahwin dengan mudah?"
Diam. Membisu seribu bahasa.
"Oi, Man! Hassan! Boleh aku join sama? Ada berita terbaru yang hangatlah!"
"Oh, kau rupanya, Karim. Jom lah join sekali. Kami sedang membincangkan tentang Perlis ni..."
"Hah, sedang eloklah. Aku pun baru balik dari Putrajaya. Ada berita hangat tentang orang Perlis!"
"Karim, kami bukan cerita tentang politik orang Perlis. Tetapi tentang peraturan kahwin di Perlis."
"Ha, itulah kau berdua ni, Man! Hassan! Yang aku bawa berita dari Putrajaya ini cerita politik orang Perlis. Yang kau bincangkan itu pun politik orang Perlis juga. Kamu berdua ini asyik berfikir guna otak kiri sahaja. Kita kena lebih kerap berfikir guna otak kanan. Barulah kita jadi lebih kreatif!"
Ketiga-tiga rakan ini terus berbincang dengan bersemangat. Topik mengenai poligami, perkahwinan, politik dan pemikiran kreatif bersilih ganti dibahaskan di "parlimen kedai kopi" itu.
Semakin lama mereka berbincang semakin mereka menyedari rupa-rupanya perkahwinan, politik, dan poligami memang memerlukan daya pemikiran kreatif yang tinggi. (BERSAMBUNG - SELEPAS P.R.U. KE-12!!!)

Sabtu, 8 Disember 2007

Presiden Amerika Amalkan Poligami?

Salah seorang bakal calon presiden Amerika dari parti Republican ialah cucu kepada seorang pengamal poligami. Mantan gabenor Massachusetts, Mitt Romney, ialah seorang Kristian dari puak Mormon yang terkenal sebagai pengamal poligami.

Walaupun dia dikatakan tidak berpoligami, namun kisah poligami diperbesarkan dengan tujuan mengurangkan sokongan rakyat kepada Encik Romney. Perkara ini menjadi senjata mengalahkan beliau yang digunakan oleh seorang lagi bakal calon presiden, Mike Huckabee.

Encik Huckabee telah mencabar Encik Romney berdebat dalam isu agama, yang dikatakan bertujuan memerangkap Romney di khalayak. Huckabee menyangka Romney akan terus berdiam diri dan tidak berani menyahut cabaran itu.

Namun mungkin disebabkan Romney lihat sokongan terhadap Huckabee meningkat, dan seterusnya memalapkan peluang Romney maka beliau akhirnya manyahut cabaran debat itu.

Tentunya jika Encik Romney terpilih sebagai calon presiden bagi parti Republican, maka Amerika semakin hampir ditadbir oleh seorang individu yang pro-poligami.

Sememangnya perkara ini akan melakar sejarah baru di negara yang amat berpengaruh di dunia ketika ini.