“Wahai saudara, berikanlah saya sedikit wang,” begitulah lebih kurang kata-kata wanita yang berpakaian lusuh dan berdebu yang menemui kami sebaik sahaja kami keluar dari Masjid Saudi selepas selesai solat Jumaat.
Di wajahnya terbayang kesusahan dan kesedihan yang amat sangat. Dia salah seorang daripada beberapa orang peminta sedekah yang menunggu jemaah keluar dari masjid selepas solat Jumaat.
Telah banyak kali saya temui peminta sedekah menunggu di depan masjid selepas solat Jumaat di tanah air. Tetapi pada petang itu bila keluar dari Masjid Saudi, berbeza sekali rasa simpati terhadap wanita itu.
Yang membuatkan hati saya tersentuh ialah perkataan pertamanya iaitu: “Ya akhi,” yang membawa maksud: “Wahai saudara.” Tentunya dia beragama Islam, dan bila digunakan perkataan “Ya Akhi” membawa implikasi bahawa dia meminta sedikit wang dari saya sebagai seorang “saudara”, sedangkan memanglah orang-orang yang beragama Islam itu bersaudara.
Saya bernasib baik kerana Allah kurniakan saya pekerjaan dengan pendapatan yang lumayan dan mampu hidup selesa. Walau pun tidak hidup mewah tetapi hidup senang dan selesa. Sedangkan seorang saudara seagama dengan saya hidup miskin melarat, berpakaian usang, lusuh dan berdebu.
Berani saya mengaku sebagai seorang Islam sedangkan membiarkan mempedulikan seorang saudara seagama dengan saya meminta pertolongan.
Ketika itu saya rasa sayu dan dada saya terasa sebak. Tidak dapat menahan sehingga air mata saya menitis. Mungkin juga baru sahaja lepas solat Jumaat, maka hati telah “bersih” dan belum dikotori hal-hal keduniaan, maka hati menjadi lembut dan perasaan belas kasihan menguasai diri.
Di Khartoum terdapat ramai peminta sedekah dan pengunjung tidak akan terlepas dari terjumpa para peminta sedekah, budak-budak remaja berkaki ayam dan berpakaian lusuh dan berdebu.
Walaupun kelihatan kemiskinan di merata tempat di sekitar Khartoum, tetapi mengikut perangkaan jenayah Khartoum merupakan antara bandaraya yang paling aman di dunia. Mungkin kerana mereka berpegang teguh dengan Islam dan mungkin juga kerajaan Sudan menjalankan undang-undang kanun jenayah Islam, maka ‘bakal-bakal’ penjenayah merasa gerun dan takut melakukan jenayah seperti mencuri, merompak, ragut dan sebagainya.
Teman yang telah setahun lebih bertugas di Khartoum mengatakan beliau sendiri membawa wang dengan jumlah yang banyak tanpa ditemani oleh pengawal peribadi atau ‘security escort’, sedangkan duit yang beratus ribu SD (Sudanese Dinar)(Berpuluh ribu dollar Amerika) yang diikat dengan getah itu tidak pun dibawa di dalam beg tetapi dikilik dengan tangan sahaja ketika keluar dari bank. Walaupun terdapat ramai para peminta sedekah, tetapi jarang sekali terdengar berita rompakan atau kecurian.
“Hati-hati, tuan,” kata pemandu kami yang sudah tiba menjemput kami. “Ramai yang meminta hari ini. Kalau tuan beri pada seorang, nanti yang lain akan serbu kita.”
Nasihat pemandu itu ada munasabahnya juga. Bukan tidak hendak beri sedikit bantuan tetapi akan diserbu yang lain pula.
Saya meminta teman yang sudah lama di Khartoum itu memberikan sedikit wang kepada wanita tersebut sebaik sahaja membuka pintu kenderaan pacuan empat roda untuk pulang ke pangsapuri.
Beliau menghulurkan wang sebanyak SD200 kepada wanita berpakaian lusuh dan berdebu itu dan kami segera masuk ke dalam kenderaan dan menutup pintu.
“William, marilah hantar kami pulang.”
“Baik, tuan,” jawab William, pemandu kami.
Tatkala kenderaan perlahan-lahan beredar meninggalkan masjid Saudi, saya menoleh ke belakang dan Nampak wanita tadi memegang erat wang tadi sambil memandang ke arah kenderaan kami dengan tersenyum gembira.
Advair Inhaler: Comprehensive Guide and Usage
2 hari yang lalu
1 ulasan:
Assalamu'alaikum.
Terima kasih Tuan atas saranan entry ini. Baru sempat membacanya dan gambaran lebih jelas di mata berkenaan penulisan travelog.
Jazakumullah.
Ummu Abbas
Catat Ulasan