Sabtu, 26 Julai 2008

Kuala Gula Tenang dan Menenangkan Fikiran






Anda mahu bercuti dan menenangkan fikiran di kawasan tepi laut atau sungai di samping melakukan aktiviti riadah bersama keluarga atau rakan-rakan?

Saya cadangkan anda berkunjung ke Kuala Gula.

Jika anda bertolak dari Kuala Lumpur dan melalui Lebuhraya Utara-Selatan, anda boleh keluar di exit Taiping Utara, dan terus menuju ke Simpang Empat atau Selinsing, dan seterusnya ke Kuala Gula.

Jika anda dari utara, anda boleh keluar di exit Parit Buntar dan terus ke Kuala Gula melalui Kuala Kurau.

Di Kuala Gula terdapat sebuah kawasan yang telah dijadikan sanctuary burung-burung yang singgah dalam perjalanan migrasi musim sejuk dan musim panas.

Jika anda gemar memancing anda boleh menyewa bot untuk memancing atau pun memancing dari jeti Kuala Gula.

Jika anda ingin menginap, terdapat chalet yang disewakan. Nombor telefon yang boleh dihubungi ialah 05-890 5481.

Kalau anda suka makanan laut yang sederhana harganya, ada sebuah restoran yang sesuai untuk anda di sana.

Walau pun tiada kemudahan sebuah pekan kecil, tetapi jika anda sukakan suasana damai dan tenang, Kuala Gula mungkin menjadi pilihan kegemaran anda.

Terusan Panama Memang Berbeza



Sumber gambar: Laman Web YatchPals

Saya pernah bertanya beberapa orang rakan yang pernah bekerja sebagai pelaut mengenai pengalaman melintasi kedua-dua Terusan Suez dan Terusan Panama.

"Yang mana lebih indah pemandangannya, Terusan Suez atau Terusan Panama?"

"Kedua-duanya menarik, kerana masing-masing ada sejarah dan keindahan yang tersendiri."

Bila saya renungi kata-kata beliau, saya dapat menghalusi kebenaran hakikatnya.

Apabila diteliti, ada suatu perkara yang unik pada Terusan Panama: oleh kerana terusan ini menghubungkan dua laut yang berbeza parasnya, serta terusan ini dibina merentasi kawasan paras air yang tidak sama, maka sistem kunci air digunakan.

Apabila sesebuah kapal yang merentasinya, kapal itu dibawa melalui beberapa sistem kunci air, dan setiap bahagian kunci air itu di naikkan paras airnya dengan mengepam air ke dalamnya. Oleh kerana begitu banyak air yang digunakan, maka air dari tasik semulajadi (Gatun Lake) tidak dapat menampung keperluan air terusan itu. Jadi sebuah tasik lagi dibina (Madden Lake) bagi menjadi simpanan air untuk kegunaan di kesemua bahagian kunci air itu.

Sedikit perangkaan mengenai terusan yang digelar projek kejuruteraan yang terbesar dan yang di antara yang paling rumit pernah dibuat oleh manusia:

- jarak dari bahagian pintu Lautan Atlantic ke pintu Lautan Pacific: 77.1 km
- anggaran jumlah kematian pekerja akibat penyakit dan lain-lain semasa pembinaan Terusan Panama: 27,500 orang
- mula dibina tahun 1904, dibuka tahun 1914
- tol yang paling mahal pernah dikenakan: USD331,200.00 (kapal penumpang Disney Magic pada 15 Mei 2008), manakala yang paling murah ialah 36 sen (perenang Richard Halliburton pada tahun 1928); purata tol yang dibayar ialah USD54,000.00.
-jumlah kapal yang melalui Terusan Panama bagi tahun kewangan 2007: 14,721 buah.

Ahad, 20 Julai 2008

Hasil kutipan tol Terusan Suez meningkat 31 peratus





Pendapatan Mesir dari hasil kutipan tol yang dikenakan kepada
kapal-kapal yang melalui Terusan Suez meningkat kepada USD5.113
billion bagi tahun kewangan 2007/08 berbanding USD945.6 juta bagi
tahun sebelumnya.

Menurut sumber yang dipercayai seorang pegawai pihak berkuasa terusan
tersebut, jumlah kapal yang melalui Terusan Suez ialah 21,080 buah,
berbanding dengan 19,479 buah pada tahun sebelumnya.

Pendapatan dari Terusan Suez adalah salah satu daripada sumber tukaran
wang asing bagi negara Mesir, di samping wang yang dihantar pulang
oleh warga negara itu yang bermastautin di luar negara, pelancungan,
dan minyak serta gas.

(Sumber: Reuters)

Rabu, 16 Julai 2008

Kita Mahu Selat Melaka Sebagai Kawasan Selamat

Ucapan oleh YB Salahuddin bin Ayub, MP Kubang Kerian ini dibuat pada tahun 2007, tetapi masih relevan sebab itulah saya paparkan di sini:

Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pada pandangan saya pindaan ini dibuat adalah untuk mengetatkan peraturan berkaitan keselamatan di perairan Malaysia termasuk di Selat Melaka. Pindaan ini juga bertujuan untuk meluaskan kuasa Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 ke perairan Labuan yang kini menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan yang selama ini mengguna pakai Ordinan Perkapalan Saudagar Sabah 1960.

Saya tidak punya apa-apa masalah untuk menyokong demi kebaikan negara tentang pindaan akta ini melainkan beberapa isu yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kementerian, sebagaimana rakan-rakan yang lain menyebut tentang isu pertumpahan minyak dan pembuangan sisa toksik. Isu human trafficking, isu organize crime termasuk dadah, senjata api dan juga penyeludupan bahan-bahan yang berbahaya kepada keselamatan negara.Sebagai contoh Tuan Yang di-Pertua, kita lihat tentang isu pembuangan minyak ataupun tumpahan minyak dan juga pembuangan sisa toksik, dalam masa lima tahun kebelakangan ini saya tidak pernah membaca dalam mana-mana jurnal antarabangsa mengenai isu maritim ini ada kawasan-kawasan strategik seperti mana Terusan Panama, Selat Inggeris, Terusan Suez dan seumpamanya yang berlakunya keberanian pihak-pihak kapal, saudagar ini membuang sisasisa toksik tetapi kita boleh membaca secara detail dan fakta tentang beberapa kapal-kapal saudagar yang begitu berani membuang sisa-sisa toksik ini di perairan Selat Melaka khususnya di perairan Tanjung Piai yang berhampiran dengan pelabuhan Singapura.

Adakah ini terjadi disebabkan kita kurang ataupun undang-undang yang ada dalam negara kita ini tidak digeruni ataupun kurangnya penguatkuasaan terhadap isu-isu ini. Jadi saya mengharapkan kementerian ini dapat melihat dan fokus dalam isu ini kerana ianya memberikan kesan sampingan terhadap alam sekitar dan juga nasib nelayan-nelayan pantai yang bergantung hidup terhadap hasil tangkapan mereka. Saya mengharapkan bahawa ini tidak berlaku dengan kerap di perairan Selat Melaka dan tidak terjadi di perairan-perairan penting dunia sebagaimana yang dilaporkan dan saya mengharapkan dapat suatu perhatian daripada pihak kementerian.

Kemudian saya melihat perusahaan perkapalan saudagar adalah suatu perusahaan yang menguntungkan kerana permintaan yang sangat tinggi sama ada di sektor domestik mahupun di peringkat antarabangsa. Meskipun begitu nampaknya perusahaan ini dimonopoli oleh syarikat besar atau syarikat asing. Perkembangan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas banyak menyumbang kepada perusahaan ini. Umpamanya dilaporkan bahawa perkembangan antara tahun 2000 hingga 2003 adalah sebanyak 116% peningkatannya. Ini laporan yang saya petik daripada ‘Doing Business in Malaysia’ yang mengesahkan daripada 100 syarikat yang beroperasi di pelabuhan-pelabuhan Malaysia, 63 daripadanya adalah syarikat asing.Antara syarikat besar yang beroperasi di Malaysia adalah Malaysia International Shipping Corporation (MISC), Malaysia Bulk Carrier Berhad, Wawasan Shipping Sdn. Bhd., Konsortium Perkapalan Berhad, Kontena Nasional Berhad dan Halim Mazmin Berhad. Kajian oleh Maritime Institute of Malaysia (MIMA), pada tahun 2001 mendapati kira-kira 4.4% perjawatan dalam industri ini dikuasai oleh warga asing. Antara faktor-faktor yang menghalang penyertaan warga tempatan ialah penurunan tawaran biasiswa kerajaan untuk program cadetship dan kekurangan tawaran pekerjaan. Kajian yang dibuat oleh MIMA ini pada tahun 2004 juga menunjukkan hasil yang sama tanpa ada kenaikan ataupun penurunan.

Ini menunjukkan kerajaan tidak serius dalam memberikan inisiatif dan daya usaha untuk memastikan perkembangan berterusan warga tempatan dalam bidang perkapalan ini. Oleh itu saya minta suatu kepastian yang jelas daripada pihak kerajaan tentang usaha-usaha untuk mendidik warga negara Malaysia untuk bersaing, untuk lebih kompetitif dalam pasaran yang semakin sengit ini. Satu kajian yang dibuat oleh Maritime Economics and Logistics 2004 mendapati bahawa dalam sektor-sektor seperti kejuruteraan, warganegara Malaysia cuma mengambil bahagian seramai 916 orang sahaja sedangkan 1,500 jurutera bidang ini masih lagi dikuasai oleh warganegara asing.

Dalam bidang deck crew sebagai contoh, warganegara Malaysia cuma 767 orang tetapi warganegara asing menguasai 1,883 orang. Dalam bidang engine crew sebagai contoh, warganegara Malaysia cuma 778 orang sedangkan warganegara asing 1,010 orang and other crew sebagai contoh kita cuma ada 582 orang warga tempatan tetapi warga asing ialah 3,589 orang. Oleh itu kita punya nisbah 1:15 dan ini sangat membimbangkan kita dan ini menunjukkan mungkin kita punya satu pelabuhan…

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Seperti mana yang saya katakan tadi, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pula menyatakan bahawa 75% daripada krew kapal Malaysia hendaklah terdiri daripada pekerja tempatan. Namun terdapat kapal Malaysia yang melanggar undang-undang ini dengan menggajikan 100% krew asing. Faktor yang menyebabkan kekurangan pekerja tempatan adalah kerana gaji yang sangat rendah. Kapten Sapuan Sarpan, Presiden Malaysian Maritime Association mengatakan krew tempatan tidak dibayar menurut skala gaji yang sepatutnya. Contohnya seorang deck cadet hanya mendapat gaji asas RM370 sebulan dan RM600 sebulan selepas dua tahun berkhidmat.

Kadet enjin yang mempunyai diploma memperoleh RM500 hingga RM600 sebulan berbanding dengan pemegang ijazah, diploma yang menunjukkan kerajaan tidak serius dalam usaha untuk memastikan perkembangan berterusan pekerjaan dalam sektor ini.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Minta penjelasan.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Penjelasan, iaitu apakah Yang Berhormat memikirkan bahawa masanya sudah tiba bukan sahaja untuk mana-mana pihak bahkan kerajaan meletakkan satu peraturan bahawa gaji ini kena difikir mengikut kesesuaian kerana keadaan dunia sudah berubah. Gaji kakitangan awam sudah meningkat, bayangkan bagaimana dia berbulan-bulan berada di laut dengan gaji RM300 lebih, RM600 lebih, sedangkan hasil dagangan itu meningkat, bermakna pengusaha-pengusaha perkapalan saudagar ini merupakan lintah darat, iaitu memerah tenaga pekerja-pekerja sehingga kita gagal melahirkan pekerja-pekerja perkapalan yang mahir dan terpaksa mengupah orang luar, minta penjelasan Yang Berhormat.

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih sahabat saya dari Kinabatangan. Satu pandangan yang cukup bernas dan saya masukkan ucapan Yang Berhormat dalam ucapan saya, terima kasih. Jadi saya bersetuju dengan pandangan itu, jangan jadikan profesion ini sebagai zaman dahulu kala. Kerja kapal ini anak-anak yang lari dari kampung, yang merajuk dengan ibu bapa, yang putus cinta, belayar kapal. Itu dahulu, 30 tahun dahulu, tetapi hari ini saya merasakan dengan perkembangan yang ada dalam negara kita seharusnya sumber tenaga manusia ini diberikan suatu nilai tambah value added, supaya kita dapat melahirkan insan-insan yang memberikan sumbangan besar terhadap industri ini.

Kita tidak mahu Yang Berhormat bagi Kinabatangan sebagai contohnya dalam berkongsi pengalaman tadi, mungkin satu hari besok, kita punya pelabuhan setaraf dengan Rotterdam ataupun setaraf dengan Dubai, seumpamanya mungkin kita ada first class infrastruktur, tetapi penguasaan teknologi, penguasaan sumber manusia dikuasai oleh warga negara asing. Ini yang kita tidak mahu. Oleh itu saya mengharapkan kerajaan mengambil satu tindakan yang proaktif di dalam menyediakan - pusat-pusat ini sebagai contoh, pusat perkapalan di Melaka, perlu untuk melihat modul-modul yang terkini di dalam menyediakan pakar-pakar di dalam bidang perkapalan ini.Sudah sampai masanya dikaji modul-modul ini sama ada ianya bertepatan ataupun at par dengan perkembangan teknologi perkapalan yang ada pada hari ini. Jadi saya sangat bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh sahabat kita dari Kinabatangan tadi, terima kasih.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, laporan mengenai Pelan Pemulihan Ekonomi Negara daripada Majlis Tindakan Ekonomi Negara pula menggesa kerajaan untuk meningkatkan kapasiti perkapalan negara. Pada masa yang sama kapal Malaysia merupakan hanya 0.54% daripada jumlah kapal saudagar di dunia. Ini satu kadar yang kita jauh keciciran kalau kita hendak membandingkan dengan potensi-potensi yang terpaksa kita hadapi pada hari ini.

Kemudian kita melihat dalam sektor ini juga bahawa kita perlu mengembalikan bagaimana kita melihat tentang aspek sejarah yang disebut tadi, bahawa kita pernah mencipta ama Selat Melaka, kemudian pelabuhan Melaka menjadi tumpuan kepada pelayar-pelayar dan pelabur-pelabur asing pada waktu itu. Vasco Da Gama Ferdinand Magellan dan seumpamanya menjadikan Melaka sebagai satu destinasi…dan sejarah ini perlu dilihat sebagai satu… inovasi bagi kita maju terus ke hadapan. Sila.

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bagi Kubang Kerian. Saya bangun pasal Yang Berhormat banyak sebut Melaka tadi, Vasco Da Gama, Selat Melaka dan sebagainya. Cuma saya hendak tanya Yang Berhormat tentang peratusan kapal-kapal di Malaysia 0.54% daripada jumlah kapal di dunia. Bolehkah Yang Berhormat berikan saya satu perbandingan (comparative), adakah 0.54 itu baik atau tidak baik, kita pun tidak tahu. Apakah normal acceptance level itu yang jumlah kapal dengan saiz Malaysia, keluasan laut dan sebagainya 0.54%, terlalu rendah, tinggi, dekat mana kita tidak tahu. Boleh Yang Berhormat ceritakan sedikit perbandingan dengan negara lain di dunia, terima kasih.

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih sahabat saya dari Tangga Batu. Peratusan yang saya petik adalah laporan daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Negara yang memberikan pandangan mereka, bahawa dengan angka 0.54% ini mengesyorkan kepada pihak kerajaan supaya memikirkan dengan serius bagaimana kita perlu lebih bersaing dengan jumlah kapal yang berlabuh di dalam pelabuhan kita.

Sebab kita ada, kita punya tiga atau pun empat pelabuhan yang telah mencipta nama. Sebagai contohnya, kita ada North Port, kita ada West Port, kita ada PTP dan kita ada Pelabuhan Pasir Gudang di mana mengikut laporan ini tidak menjelaskan sebagaimana yang dikehendaki oleh Yang Berhormat bagi Tangga Batu tadi, tetapi ia memberikan suatu unjuran bahawa kita perlu meningkatkan keupayaan kita untuk bersaing kerana ini tidak padan dengan kemajuan pesat yang sedang kita bina dari segi infrastrukturnya seperti di Pelabuhan Klang, di PTP dan juga di Pelabuhan Pasir Gudang.

Saya teruskan Tuan Yang di-Pertua. Kemudian sebagai akhirnya yang saya hendak sebutkan di sini ialah tentang bagaimana seriusnya kerajaan mewujudkan apa yang dikatakan supporting services. Apa yang dikatakan servis atau perkhidmatan-perkhidmatan yang memungkinkan kita pada suatu hari esok menjadi suatu hab di rantau Asia Tenggara ini.Kalau kita melihat jenama-jenama seperti
Loyd yang menguasai samudera antarabangsa ini mereka mencipta nama bukan sekadar mereka punya perkhidmatan kapal yang membanggakan, tetapi kita melihat mereka juga menguasai insurans dan juga legal services, perkhidmatan undang-undang iaitu perkhidmatan yang mereka berikan terhadap industri ini. Oleh itu, saya ingin mendapat kepastian adakah kerajaan Malaysia hari ini benar-benar telah mengoptimumkan, kita telah benar-benar mengoptimumkan perkhidmatan sokongan ini? Kalau kita melihat satu laporan yang dibuat selepas post 11 September ini telah memasukkan Selat Melaka sebagai kawasan yang dikatakan war risk dengan izin iaitu kawasan yang mungkin ada risiko peperangan yang sudah tentu kapal-kapal ini akan dilindungi dengan insurans yang begitu tinggi dan tidak mungkin ada suatu syarikat insurans tempatan yang mampu untuk bersaing.

Sebab itu kalau kita melihat kapal-kapal ini kebanyakan didaftarkan di Panama, didaftarkan di negara-negara seperti Belanda, banyak kapal-kapal ini didaftarkan kerana mereka telah bukan sekadar memberikan suatu sokongan kepada infrastruktur yang hebat tetapi juga kepada sektor-sektor sokongan seperti insurans dan juga perkhidmatan guaman, undang-undang yang meyakinkan. Oleh itu saya berharap supaya di samping kita memikirkan tentang peningkatan modal insan, pembinaan skil, kompetensi dan seumpamanya jadi sektor sokongan ini perlu juga diambil kira supaya kita tidak hanya dilihat sebagai hanya sebuah negara yang mungkin boleh memberikan perkhidmatan pelabuhan yang baik tetapi kita tidak dapat memberikan perkhidmatan sokongan yang memang sangat diperlukan dalam industri perkapalan ini. Sekian, terima kasih.

NOTA : Ucapan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Perluasan) 2007 pada 18 Jun 2007.

Ahad, 6 Julai 2008

Bot tunda

Bot tunda ialah bot yang berkuasa tinggi yang digunakan untuk menarik atau menunda kapal di dalam kawasan pelabuhan, di laut terbuka atau pun sungai.

Ada juga bot tunda yang digunakan untuk operasi menunda dan menyelamat kapal yang terkandas atau manunda peralatan seperti pelantar minyak dan tongkang.

Bot tunda biasanya mempunyai 750 hingga 3,000 kuasa kuda atau 500 hingga 2,000 kW, manakala bot tunda yang berkuasa lebih tinggi 25,000 kuasa kuda atau 20,000 kW.

Gambar rajah bahagian bot tunda:


Bot tunda menarik kapal pengangkut kapal terbang (air craft carrier)AS:


Bot tunda di Terusan Panama:



Bot tunda tongkang:


Bot tunda menarik oil production platform:


Bot tunda dalam suatu operasi salvaj (menyelamat):



Sesungguhnya bot tunda merupakan salah satu daripada keperluan dalam industri maritim dan rangkaian khidmat yang penting dalam operasi perkapalan.

Peluang kerjaya di syarikat bot tunda juga terbuka luas untuk bekas pelaut yang pernah bekerja di kapal dagang.