Sabtu, 23 Februari 2008

Tip memilih pasangan poligami yang ideal!

"Hassan, kau dah ada dua orang isteri. Aku pun teringin juga nak cari isteri kedua. Apa pandangan kau?"
Dua orang sahabat sedang menikmati teh tarik dan roti canai di sebuah restoran di suatu kawasan perumahan di Lembah Kelang.
"Kau sudah ada calon?"
"Bakal calon itu ada lah. Cuma..."
"Cuma apa?"
"Cuma aku tidak pasti dia masih single atau single mum."
"Oh, kalau begitu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah, kalau kau tidak pasti dia sudah ada suami atau tidak."
"Maksud aku, Hassan, apa tip yang kau boleh berikan mengenai bakal pasangan poligami yang ideal?"
"Bakal yang ideal itu berbagai-bagai. Apa ciri-ciri yang kau mahu?"
"Aku yang tanya kau. Kau pula yang bertanya aku balik. Sebab kau pengamal poligami lah aku minta tip dari kau, Hassan."
"Beginilah, Man. Apa tujuan kau mahu beristeri lagi?"
Diam.
"Adakah kerana kau sudah tidak bahagia dengan isteri kau?"
Diam lagi. Masih tidak menjawab.
"Adakah kerana tidak lama lagi kau akan dapat keluarkan 1/3 daripada simpanan KWSP, maka kau rasa kau sudah mampu menampung belanja pergi ke Perlis untuk dapat berkahwin dengan mudah?"
Diam. Membisu seribu bahasa.
"Oi, Man! Hassan! Boleh aku join sama? Ada berita terbaru yang hangatlah!"
"Oh, kau rupanya, Karim. Jom lah join sekali. Kami sedang membincangkan tentang Perlis ni..."
"Hah, sedang eloklah. Aku pun baru balik dari Putrajaya. Ada berita hangat tentang orang Perlis!"
"Karim, kami bukan cerita tentang politik orang Perlis. Tetapi tentang peraturan kahwin di Perlis."
"Ha, itulah kau berdua ni, Man! Hassan! Yang aku bawa berita dari Putrajaya ini cerita politik orang Perlis. Yang kau bincangkan itu pun politik orang Perlis juga. Kamu berdua ini asyik berfikir guna otak kiri sahaja. Kita kena lebih kerap berfikir guna otak kanan. Barulah kita jadi lebih kreatif!"
Ketiga-tiga rakan ini terus berbincang dengan bersemangat. Topik mengenai poligami, perkahwinan, politik dan pemikiran kreatif bersilih ganti dibahaskan di "parlimen kedai kopi" itu.
Semakin lama mereka berbincang semakin mereka menyedari rupa-rupanya perkahwinan, politik, dan poligami memang memerlukan daya pemikiran kreatif yang tinggi. (BERSAMBUNG - SELEPAS P.R.U. KE-12!!!)