Selasa, 29 Mei 2007

Iran dan Amerika memecahkan tembuk penghalang diplomatik

Buat pertama kali sejak Revolusi Islam Iran yang menggulingkan Shah Iran yang didokong Amerika tahun 1979, Iran dan Amerika bertemu sebagai dua kuasa sama taraf di Iraq.

Pertemuan ini diberitakan oleh media sebagai bertujuan menyelesaikan masalah perang saudara yang begitu gawat dan telah memakan ramai korban di kalangan rakyat Iraq dan juga tentera Amerika dan sekutunya.

Amerika meminta Iran berhenti membantu militia Iraq dari segi persenjataan dan lain-lain perbekalan. Iran pula menegaskan Amerika perlu meninggalkan Iraq supaya sengketa akan reda dengan sendirinya. Iran juga menawarkan untuk membina semula tentera Iraq dari segi infrastruktur dan logistik, kerana ia telah musnah sama sekali angkara penceroboh Amerika. Iran tetap dengan pendirian anti-Israel.

Diplomat Amerika yang hadir di perbincangan itu menyifatkan pertemuan itu berjaya.

Bagi pemerhati politik yang membaca yang tersirat menyifatkan pertemuan itu sebagai kejayaan Iran dalam bidang diplomatik. Amerika pula keluar dari bilik mesyuarat itu sebagai budak besar yang berdarah hidungnya akibat ditumbuk seorang budak kecil yang dianggap lemah.

Isnin, 28 Mei 2007

Drama TV Poligami

"Big Love" ialah tajuk sebuah drama bersiri TV yang disiarkan oleh HBO pada awal tahun ini yang mengisahkan sebuah keluarga poligami di pinggir bandar di Amerika Syarikat.

Ia mengenai seorang lelaki yang membuka dua buah (dua buah..!!) kedai runcit dan mempunyai tiga buah rumah berjiran di sebuah kawasan perumahan di pinggir New York. Sebuah rumah untuk seorang isteri.

Adakah di antara pembaca yang menonton siri TV itu?

Poligami di Britain

Poligami berleluasa di Britain. Perangkaan kerajaan negara itu menunjukkan hampir seribu orang lelaki mempunyai lebih daripada seorang isteri.

Biarpun undang-undang Britain memberi hak suami menuntut faedah keselamatan sosial bagi setiap orang isteri, namun tiada pula perangkaan yang menunjukkan berapa orang yang berbuat demikian.

Para menteri seolah-olah tiada mengendahkan amalan poligami yang tidak sah, yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat Islam di negara itu. Menteri Kehakiman mengaku pihaknya tiada perangkaan tepat jumlah poligami.

Seorang Ahli Parlimen (MP) kanan parti Konservatif yang juga pakar imigresen semalam menyeru supaya skandal wanita dipaksa kahwin tanpa diberi hak yang sepatutnya, dibanteras.

“Kerajaan seperti tidak mengawal perkara itu,” kata Humprey Malins, bekas menteri bayangan Kementerian Dalam Negeri yang juga pengasas Khidmat Nasihat Imigresen. “Amalan ini jelas menindas kaum wanita.”

Britain mengiktiraf perkahwinan poligami yang didaftarkan di negara-negara yang membenarkan poligami seperti Pakistan dan India.

Wanita-wanita yang menjadi isteri kedua secara tidak sah di Britain lebih terdedah kepada ekploitasi, kerana mereka mungkin ditinggalkan oleh suami tanpa apa-apa pembelaan.

(Sumber: The Times, London)

Jumaat, 25 Mei 2007

Pelancaran buku pertama di puncak Gunung Fujiyama

Seorang rakan penulis PTS akan merayakan kemerdekaan negara kita yang kelima puluh tahun di puncak gunung Fujiyama. Rombongan pendaki gunung tersebut akan berada di puncak gunung tepat pada malam 31 Ogos 2007, iaitu detik 12.00 malam.

Satu perkara yang menarik dibincangkan ialah rakan kita ini telah bersetuju untuk untuk 'melancarkan' buku pertama saya di puncak Gunung Fujiyama.

Sudah tentulah ini sesuatu yang amat indah bagi seorang penulis yang baru mula bertapak. Buku pertama mengenai poligami yang diterbitkan oleh PTS dan buku pertama seorang punulis, diambil gambar seolah-olah dilancarkan secara 'soft launch' di puncak Gunung Fujiyama sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 50!

Semoga hasrat pelancaran ini menjadi kenyataan.

Dan secara kebetulan pula nama gunung hampir serupa dengan bunyi istilah poligami yang dipopularkan oleh Tuan Rastom. Nama gunung "Fujiyama" manakala istilah bagi poligami tersebut pula ialah "Fulijami".

Khamis, 24 Mei 2007

Lelaki beristeri lapan kembali ke penjara

Fakta baru terbongkar berkenaan seorang lelaki Anthony Owens yang terlibat dalam kes terkenal sebagai ‘kes lelaki suka kahwin.’ Beliau sudah meringkuk di penjara beberapa lama kerana kesalahan beristeri dua.

Tidak lama selepas dibebaskan Owens dipenjarakan semula.

Mengikut lapuran affidavit, Owens ditahan di Memphis, pada 13 April 2007 setelah menjadi buruan apabila waran tangkap dkeluarkan dari Daerah Gwinnett di pinggir bandar Atlanta.

Pada tahun 2005, beliau dikenakan tuduhan mengamalkan poligami dengan lapan orang wanita.

Para wartawan berjaya mengesan 4 daripada lapan surat nikah beliau di Pejabat Pendaftar Perkahwinan Daerah Shelby.

Seorang mangsa dari Atlanta yang enggan dikenali berkata, “Saya menemui bukti menunjukkan dia mempunyai beberapa orang isteri, dan saya sendiri pun pernah bertemu dengan salah seorang dari isteri beliau.”

Owens dilahirkan di Memphis dan para penyiasat berkata perkahwinan beliau dengan isteri pertama diadakan di Memphis. Ketia itu dia baru berusia 18 tahun dan isterinya 43 tahun.

Bila ditanya apakah hukuman yang layak bagi Ownes, mangsa itu berkata, “Saya rasa dia perlu dipulau dari masyarakat kerana beliau buka sahaja menikahi mereka, malah mengambil harta mereka dan kemudian meninggalkan bekas isterinya di dalam keadaan papa kedana dan bakrup. Saya hilang segala-galanya selepas dia meninggalkan saya.”

Pada tahun 2004, cara hidup poligami Owens itu menjadi satu masalah baginya, sehingga sehingga beliau dipenjarakan selama dua tahun.

Pihak berkuasa mengumumkan Owens dibebaskan dengan pemerhatian.

Kini lelaki yang ‘suka berkahwin’ ini dipenjarakan sekali lagi. Tapi kini apakah salah beliau?

Bila ditanya kepada pihak berkuasa Georgia adakah kesalahan Owens berkait dengan poligami?

Dari jawapan yang diterima menunjukkan Owens dipenjara kerana dia telah mengajak empat wanita lagi berkahwin....!!! (Lapan masih tidak mencukupi....)

Rabu, 23 Mei 2007

Origami vs Poligami ?

PERBEZAAN
S: Apa persamaan antara 'origami' dan 'poligami'?
J: Kedua-duanya melibatkan perbuatan melipat kertas. Origami melipat kertas menjadi bentuk berbagai seperti burung, kuda dan sebagainya. Poligami juga melibatkan aksi melipat kertas, tetapi yang dilipat ialah beberapa keping surat nikah.

PERSAMAAN
S: Apa perbezaan antara origami dan poligami?
J: Buku panduan origami begitu banyak di dalam pasaran, sedangkan buku panduan poligami tidak banyak di jual di pasaran. Dan salah satu daripada buku itu ialah terbitan PTS.

Pesanan: Nantikan buku yang bakal terbit itu, dan bila sudah terbit, sila beli.

Selasa, 22 Mei 2007

Secebis Kisah Poligami

"Kak Zah dengarkah cerita Encik Ahmad?"
"Encik Ahmad orang kaya baru (OKB) yang rumah corner lot itukah, Kiah?"
"Yalah. Kak Zah tahu bila beliau kahwin isteri muda, isteri tua mengadu pada anak-anak mereka."
"Anak yang mana, Kiah?"
"Anak mereka lima orang. Anak perempuan mereka tidak masuk campur, Kak Zah."
"Bagaimana pula dua anak lelaki yang belajar di luar negeri itu, Kiah"
"Abang Kamil dengar cerita dari tukang kebun mereka, Pak Karim."
"Apa jadi, Kiah? Pak Karim nampak mereka pulangkah?"
"Pak Karim ceritakan kepada Abang Kamil. Dia nampak anak-anak lelaki Encik Ahmad campak 3 beg dari tingkat atas rumah mereka. Pak Karim nampak ada satu beg yang terburai dengan pakaian beliau, bila jatuh atas porch."
"Masya Allah.Kiah. Apa nak jadi dengan anak-anak zaman sekarang?"
"Bukan itu sahaja, Kak Zah. Pak Karim dengar mereka maki hamun ayah mereka. Dan halau ayah mereka dari rumah."
"Astaghfirullah....minta-minta janganlah anak akak jadi macam itu. Itu sudah boleh jadi anak durhaka namanya...!!"

Isnin, 21 Mei 2007

"Sehingga Tuanku Sultan Pun Masuk Campur"

Dinukilkan oleh seorang doktor pakar, isteri pertama dan isteri kedua kepada seorang pesakit beliau bergaduh di wad, semasa si suaminya sakit tidak sedarkan diri.

Masing-masing tuduh-menuduh, menyalahkan antara satu sama lain.

Tuan doktor pakar tersebut sudah cuba mendamaikan mereka dengan menggunakan berbagai-bagai teknik dan tip-tip yang beliau pelajari dari buku panduan diplomat, namun pertengkaran seperti tidak mahu reda juga.

Tuan Sultan dari salah sebuah negeri di Semenanjung Malaysia yang secara kebetulan berada di wad itu telah mencelah.

"Usahlah bergaduh lagi. Tidak molek didengar orang," titah baginda.

Kedua wanita itu terdiam seketika mendengar suara Tuanku Sultan.

Baginda menyambung lagi, "Lapi pun apa yang pelik sangat poligami ini. Ayah kita pun beristeri dua juga."

Kedua wanita itu berhenti bertengkar.

Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka tidak bertengkar lagi kerana dapat menerima logik Tuanku Sultan atau berasa malu kerana kehadiran Tuanku.

Saya Ingin Berpoligami Bukan Berjihad, Kata Doktor

“Semasa awak berada di Arab Saudi, pernahkah awak terlibat dengan al-Qaeda?” tanya peguam bela Ed Wilford.

“Tidak. Tidak pernah sekali pun,” jawab Rafiq Sabir, seorang bekas doctor dari kota New York yang dituduh bersubahat dengan al-Qaeda, satu jenama ciptaan Amerika bagi kumpulan pejuang Islam yang anti-Amerika yang kononnya diketuai oleh jutawan Arab Saudi Osama bin Laden.

Ketika memberi keterangan di mahkamah yang dihadiri oleh para juri persekutuan Amerika itu, Sabir berkata dia berminat untuk berpoligami bukan keganasan.

Semasa bertugas di Arab Saudi pada tahun 2005, dia banyak mengkaji tentang keindahan berpoligami setelah dia membaca terjemahan al-Qur’an dan buku-buku Islam mengenai poligami.

“Saya ingin beristeri seorang lagi, tetapi isteri saya tidak dapat menerimanya,” kata Sabir. “Saya pulang ke Amerika untuk berbincang dengan beliau. Saya perlu cuba walaupun mungkin saya gagal meyakinkan tentang kebaikan poligami.”

Sabir merupakan ayah kepada empat orang anak, mempunyai sejarah perkahwinan yang diwarnai dengan berbagai masalah yang melibat sekurang-kurangnya empat orang bekas isteri. Beliau berkata dia yakin poligami adalah cara penyelesaian terbaik bagi masalah isterinya enggan yang mengandung lagi.

Pihak berkuasa persekutuan Amerika menuduh beliau pernah berjanji merawat pejuang jihad yang cedera. (Sumber: New York Post - 11 Mei, 2007)

Ahad, 20 Mei 2007

Secebis Kisah Rumah Tangga

"Sudahkah Kiah dengar kisah penceraian Datin B?"
"Bukankah dia bawa kes ke mahkamah halang Datuk A beristeri lagi?"
"Kalau suami Kiah hendak beristeri lain, Kiah tidakkah heret dia ke mahkamah?"
"Bukan tidak boleh ke mahkamah, Kak Zah. Halang Abang Kamil nikah satu lagi."
"Datin B cerita macam-macam yang buruk-buruk tentang Datuk A."
"Ishh! Kenapa sampai begitu sekali, Kak Zah?"
"Begitulah yang akan terjadi bila ke mahkamah, Kiah. Bila nak buktikan Datuk A tidak layak bernikah lagi, terpaksalah Datin B buka yang 'busuk-busuk' tentang Datuk A."
"Eh, Kak Zah. Kalau saya jadi orang lelaki pun rasa tercabar juga saya."
"Yalah, Kiah. Bila bawa kes ke mahkamah untuk halang suami nikah satu lagi, perasaan suami yang sayang itu jadi marah."
"Betul kata Kak Zah. Dan bila buka 'aib di mahkamah, dari rasa marah timbul pula rasa benci."
"Kiah tahu apa ending bicara di mahkamah Datin B?"
"Apa yang terjadi, Kak Zah?"
"Datin B jatuh pengsan di mahkamah ketika kes itu berlangsung, Kiah."
"Subhanallah! Kenapa Datin yang pengsan? Bukankah dia yang seret Datuk ke mahkamah, Kak Zah?"
"Masakan tidak pengsan, Kiah. Ketika Datin B beri keterangan di mahkamah tu, dia buka semua cerita-cerita buruk tentang suami dia. Agaknya Datuk A sudah marah tahap maksima, dia lafazkan cerai talak tiga ketika itu depan hakim di mahkamah itu juga!"
"!!!"

Komen Dari Puan Ainon

Ya Sheikh!

Boleh saya tumpang cerita psikologi poligamist (orang yang mengamalkan poligami)?

Ada 2 faktor:

(1) Apa yang sebenarnya yang mendorong doktor bedah itu kahwin lain dengan wartawan yang tidak cantik dan lebih tua daripadanya. (Lelaki tidak akan mendedahkan maklumat amat peribadi seperti ini.)

(2) Apa yang mendorong doktor bedah itu memberi jawapan begitu apabila ditanya. (Lelaki akan mencipta jawapan yang orang bertanya itu mahu dengar - yakni, jawapannya itu tidak jujur.)

Psikologi seperti ini adalah fitrah. Dalam isu perceraian pun begitu. Punca dia bercerai lain. Apabila ditanya, dia beri jawapan lain.

Lazimnya, jawapan yang diberikan berfungsi supaya orang bertanya itu memberhentikan pertanyaannya.

[Komen dari Puan Ainon, SifuPTS, kepada posting "Mengapa Suami Saya Beristeri Lagi?"]

Sabtu, 19 Mei 2007

"Mengapa Suami Saya Beristeri Lagi?"

Seorang rakan menghantar sebuah artikel melalui email yang beliau dapat dari internet.

Di dalam artikel itu disebutkan antara sebab utama seseorang 'mencari teman hidup lain' ialah kerana ia rasakan teman hidup sekarang sudah 'tidak menarik' lagi.

Istilah 'tidak menarik' tidak semestinya bermaksud 'lebih cantik' atau 'lebih tampan' dari segi fizikal dan paras rupa. Tetapi 'tidak menarik' bermaksud 'tidak menarik minat' lagi.

Satu contoh diceritakan kisah isteri seorang pakar bedah yang 'berkorban' membesarkan anak-anak mereka, membuat kerja rumah dan memasak makan yang lazat dan menghias diri untuk suami. Namun pakar bedah itu telah meninggalkan isterinya dan membuat hubungan intim dengan seorang wartawan.

Wartawan itu bukan sahaja tidak cantik, tetapi seorang wanita selekeh dan dua tahun lebih tua dari beliau.

Kisah-kisah yang diceritakan memang saya berfikir.

Terlintas juga di fikiran saya, mungkinkah seorang lelaki mencari isteri kedua kerana ingin mencari sesuatu yang 'menarik' itu?


Jumaat, 18 Mei 2007

Siapa Wanita Itu?

Terdengar dialog di sebuah bilik soal-siasat sebuah balai polis di sebuah negara di Timur Tengah pada awal millenium ketiga:

"Kamu tahu kenapa kamu ditahan?"
"Ti...tidak, tu..tuan..."
"Siapa wanita muda yang kamu selalu kunjungi di No 2, Apartment Al-Fulijami, Ahmad Albab Street?"
"Wanita yang mana satu, tuan?"
"Kamu jangan berpura-pura tidak tahu!"
"Kenapa dengan wanita itu, tuan? Apa salah beliau?"
"Telah lama pegawai kami memerhati kamu. Setiap minggu 3 kali kamu ke sana. Isnin, Rabu dan Jumaat."
"Sebenarnya ada minggu 3 kali. Lain minggu 4 kali, tuan."
"Jangan kamu cuba nak berlagak pandai! Pegawai kami tahu kamu bermalam di apartment itu."
"Benar, tuan. Tetapi..."
"Siapa dia wanita itu? Jawab! Cepat!"
"Sebenarnya dia....err.."
"Dia isteri kedua kamu. Kami percaya dia isteri kedua kamu. Kamu tahu atau tidak mengikut undang-undang negara kita awak bersalah?!"
"Ya, tuan. Saya tahu."
"Jadi kamu mengaku bersalah?"
"Tapi tuan..."
"Apa tapi-tapi lagi?!"
"Wanita itu bukan isteri kedua saya."
"Kamu jangan berbohong! Kamu ingat kami bodoh?"
"Benar tuan. Tuan ada buktikah dia isteri kedua saya?"
"Kami akan dapat buktikan sehari dua lagi..."
"Tuan, saya malu hendak katakan perkara ini. Tetapi.."
"Apa yang kamu katakan?"
"Sebenarnya dia wanita simpanan saya, tuan."
"Kamu sengaja berbohong untuk lepaskan diri, ya?"
"Tidak, tuan. Saya berkata benar. Wanita itu ialah perempuan simpanan saya. Dia bukan isteri kedua saya. Saya sangat jaga rahsia ini supaya rakan pejabat saya tidak tahu."

Pegawai yang menyoal-siasat keluar dari bilik. Bertemu ketua atasannya. Sekejap sahaja masa berlalu dan ketua atasannya bertemu suspect.

"Tuan Sheikh boleh pergi sekarang. Kami minta maaf kerana tersalah menuduh tuan beristeri kedua. Kami menyangka wanita itu isteri kedua Tuan Sheikh."

"Terima kasih, Tuan Inspektor."

Khamis, 17 Mei 2007

Bagaimana dan Bila...??

"Joyah terkejut besar dapat tahu suaminya ada isteri kedua."
"Kenapa terkejut pula? Orang lelaki memang suka isteri lebih dari seorang."
"Suami Joyah ni orang surau."
"Orang surau lagi pandai. Mereka tahu hukum nikah kahwin. Mereka lebih suka kahwin daripada buat maksiat."
"Yang dia terkejut bukan kerana suaminya kahwin lain. Tetapi dia tidak sangka suami ada peluang dan masa nak cari wanita lain.”

“Setiap orang ada 24 jam sehari. Macam mana tidak ada peluang?”

“Joyah bekerja sebagai pegawai di pejabat yang sama dengan suami dia. Suaminya di pejabat tidak pernah berdua dengan perempuan. Tidak pernah pergi kerja luar (outstation).”

“Orang lelaki selalunya ada keluar dengan kawan-kawan. Main golf ke atau memancing ke?”

“Suami Joyah ni tak main golf. Tak memancing. Balik ke rumah satu kereta dengan Joyah. Bila waktu Maghrib pergi ke surau. Lepas solat Isyak berjemaah dah balik ke rumah.”

“Wah, hebat betul suami Joyah ini. Dia keluar masa Joyah tidorkah?”

“Bila Joyah terjaga malam, dia nampak suami dia solat tahajjud.”

“Memang tak ada peluang?”

“Itulah yang Joyah terkejut.”

“Habis bila masa suami dia jumpa isteri kedua?”

“Sebenarnya.....”

[Dapatkah para pembaca meneka bila dan bagaimana suami Joyah bertemu isteri keduanya?]

Ahad, 13 Mei 2007

Satu, Dua, Tiga, Empat - Pantun Poligami

Tuan MBA:

Di kiri padang di kanan tasik
di tengah-tengah anak rumput
di rumah cantik di luar menarik
poligami? Teringin Tapi Takut!


Puan SifuPTS:

Kiri jelatik kanan jelatik,
Rusa lari waktu pagi.
Sini cantik sana pun cantik,
Rasa nak cari satu lagi.

Kiri kepayang, kanan kepayang,
Atas tanah pakai sepatu.
Tua sayang, muda pun sayang,
Balik rumah, tersalah pintu!


Alang Kelana:

Kiri padang kanan pun padang
di tengah-tengah pohon mengkudu
kiri sayang kanan pun sayang
di tengah-tengah suami terkedu.

Batu karang di dalam tasik
daun pegaga di tepi perigi
tua sayang yang muda cantik
ada yang ketiga menambat hati.

Jumaat, 11 Mei 2007

Kelmarin Akal ku Rentung Di Simpang Penantian




Sejak kelmarin
aku menunggu dan menanti
sesuatu yang ku nantikan
entah bila agaknya
entah di mana...

Rabu, 9 Mei 2007

Ambo Oghe Kelate

Ambo oghe Kelate
zame dulu, lo no dan sokmo-sokmo
ambo anak Kelate
budu, lompat tike ambo make belako.

Oghe lain kecek luar
demo lain kecek oghe putih
tapi doh ambo Anak Kelate
mace mano nak kecek lain?

Adik kakak mesti tahu
oghe Kelate suka merantau
gi keleh negeri oghe
kita belaja timba pengalame
tapi lagu mana po
ambo tetap oghe Kelate.

Ale Kelana @ Anak Kelate

Novel “Pengumpul Isteri Kecewa” Mencungkil Kisah Poligami di Amerika

OAKDALE, Cafornia, May 8, 2007 – Buck Buchanan mendedahkan sebuah kisah benar kontroversi mengenai seorang lelaki dengan lima isteri beliau di dalam buku terbaru beliau, “Pengumpul Isteri Kecewa”.

Pertama kali Tom Dalton mengenal istilah “poligami” ialah ketika berumur 15 tahun. Ketika itu juga beliau terpikat dengan dua orang teman sekerja emaknya, Victoria Rhodes dan Tracy Thomson. Biarpun mereka berumur lapan tahun lebih, beliau mengahwini mereka lima tahun kemudian. Semenjak itulah bermulanya cara hidup poligami Tom.

Tom akhirnya mempunyai lima orang isteri. Kesemua mereka pernah mengalami keruntuhan rumah tangga. Perkahwinan Vicki gagal dan beliau terpaksa turun naik ke mahkamah sebelum bercerai. Rumah tangga Tracy hancur akibat suami beliau curang dan mengabaikan beliau. Isteri ketiga Tom berumur 12 tahun lebih tua dari Tom dan sudah dua kali gagal dalam perkahwinan. Isteri beliau yang keempat dan kelima juga pernah menghadapi trauma perceraian.

Tom mula menyebarkan konsep poligami kepada kawan-kawan dan penduduk sebuah kampung di pergunungan tempat beliau berbulan madu dengan isteri-isteri beliau. Hasilnya, beliau berjaya membantu membina sepuluh keluarga poligami, sehingga berjaya membina kerabat ala-Scotland. Mereka berjaya mengumpul dana tujuh angka untuk tujuan membela diri di mahkamah dan sebuah plan perubatan yang comprehensif.

Biarpun mendapat tentangan keluarga dan teman-teman serta masalah dengan bekas-bekas suami isteri-isteri beliau, keluarga Tom menjadi suatu contoh keluarga poligami bukan Mormon.

“Ini sebuah kisah bagaimana cara hidup berpoligami boleh wujud, malah mampu berkembang di negara kita,” kata Buchan. “Walaupun saya tulis novel ini dengan tujuan menghiburkan pembaca, saya juga ingin mencetuskan kontroversi.’

Buchan merupakan seorang anak jati California dan tinggal bersama isteri beliau di daerah Sacramento. Di tahun 1990’an setelah beliau menyedari kewujudan keluarga poligami di luar negeri Utah, beliau mula menyelidik isu seorang lelaki beristeri lebih daripada seorang, juga fenomena wanita yang berkahwin dengan lelaki yang lebih muda daripada mereka, serta kesan penceraian terhadap wanita. “Pengumpul Isteri Kecewa” merupakan buku pertama beliau.

Selasa, 1 Mei 2007

Pesta Buku KL 2007 - Meletihkan Tetapi Puas Hati


Kami pulang menjinjing beberapa beg kertas, berjalan sejauh hampir satu kilometer pula ke tempat letak kereta nun jauh di belakang stesen monorail PWTC.

Kepada mereka yang belum lagi ke sana, anda ada masa sehingga 6 Mei 2007. Jangan terleka sehingga anda terlepas tarikh ini.

Marilah membaca. Marilah memandaikan bangsa. Teruskan perjuangan Bahasa Melayu!

Pesta Buku KL 2007 - Seorang Ayah Kena "Dera"




Sempat dirakamkan juga seorang ayah yang di"dera" oleh anaknya, seorang peminat muda di pesta buku itu.

Sempat juga dirakamkan peminat muda ini sedang begitu suka sekali melihat satu watak novel fantasi yang diterbitkan oleh satu penerbit yang menyertai pameran di situ.

Pesta Buku KL 2007 - Peminat Muda


Kami sempat merakamkan keceriaan seorang pengunjung muda di pameran buku itu.

"Adik dah sekolah?"

"Saya baru masuk tadika. Umur saya lima tahun," jawab beliau.

"Adik sudah beli buku?"

"Ayah saya sudah belikan."

Pesta Buku KL 2007 - Gerai PTS Hampir Ranap Kena Serbu



Tiada istilah tepat yang dapat saya gunakan bagi menerangkan suasana gerai PTS yang digempur pengunjung.

Gambar-gambar pun belum tentu sesuai bagi menyatakan keadaan sebenar di sana - walaupun begitu kami sempat pula "memaksa" Puan Ainon bergambar bersama untuk kenangan.

Tuan-tuan dan puan-puan mesti kena datang sendiri, mesti berada di situ baru dapat merasakan kemeriahan di situ.

Pesta Buku KL 2007 - Beli dan Beli Lagi



Setelah isteri saya dan saya bergambar dengan Puan SifuPTS, sambil sibuk memilih buku, barulah sedar kesan sebenar 'kerosakan' pada dompet saya. Itu pun setelah mendapat sedikit diskaun - ini kelebihan menjadi penulis PTS!

Tahun hadapan mungkin lebih lumayan lagi.

Ha ha ha.....

Pesta Buku KL 2007 - Bergambar Dengan Penulis dan Sifu PTS



Seorang bakal penulis muda (anak saya) sempat bergambar dengan penulis PTS, Sdr Alif dan juga Puan SifuPTS.

Sungguh seronok dan gembira beliau dapat bergambar dengan seorang penulis yang terkenal dan dengan Chairman PTS!

Pesta Buku KL 2007 - Kami Sampai Ke Destinasi


Inilah tempat yang di tuju: Gerai PTS!

Pegawai-pegawai PTS yang bertugas semuanya memakai apron. Ini suatu perbezaan daripada yang dilihat di gerai-gerai lain.


"Ya, tuan-tuan dan puan-puan, mari pilih! Mari pilih!" -- (Ini rekaan saya...bukan skrip petugas PTS, ha ha ha!)

Nota: saya ingin mencadangkan supaya tahun depan gerai PTS di letakkan di sudut tepi (corner lot), agar trafik tidak tergendala kerana Gerai PTS akan sentiasa diserbu. Nasib baik pasukan FRU tidak dikerah bagi mengawal keadaan!

Pesta Buku KL 2007 - Orang Ramai Berpusu-pusu



Sungguh ramai sekali pegunjung dan pelancung yang datang ke sini.

Kami sempat melihat seorang penulis PTS memberikan penerangan di atas pentas di situ.

Mungkinkah di pesta tahun hadapan giliran saya pula untuk naik ke pentas?

Pesta Buku KL 2007 - Satu Dewan Untuk Alaf21/Karangkraf !


Lokasi penerbit 'budak besar' ini begitu strategik serta 'perangkap' yang dipasang begitu rapi. Satu dewan khas untuk mereka.

Namun demi meneruskan langkah ke destinasi yang dituju, kami akhirnya berjaya juga meloloskan diri.

Ramai juga yang 'terduduk' di atas lantai berpermaidani kerana kepenatan!

Pesta Buku KL 2007 - Berjalan Masuk Ke Tempat Pesta



Kami berjalan melintas jalan dan menyeberang jambatan yang merentangi Sungai Gombak sebelum masuk ke tempat pamiran.

Indah juga pemandangan dari jambatan...

Pesta Buku - Letak Kereta Jauh Di Belakang


Tempat letak kereta berbayar berdekatan sekitar PWTC, hotel serta Hentian Putra, iaitu lokasi Pesta Buku KL 2007 semuanya penuh. Kelihatan banyak juga kereta diletak di bahu jalan di sekitar kawasan itu.

Akhirnya saya letak kenderaan di sebuah parking lot berbayar, yang terletak nun jauh di belakang stesyen monorail (PWTC). Masih banyak petak kosong semasa kami sampai.