Pada pagi Sabtu 3 February 2007 saya berserta keluarga telah berkunjung ke Kampung Janda Baik. Lebih kurang setengah jam selepas melewati plaza tol Gombak berhampiran UIA, kami sampai di R & R Genting Sempah. Selepas terowong saya memandu keluar dari lebuhraya Karak menghala ke Kampung Janda Baik.
Jalan yang agak sempit, berbukit-bukit dan bengkang-bengkok begitu mencabar perhatian pemandu veteran seperti saya. Namun itu tidak menghalang saya menikmati kehijauan tumbuh-tumbuhan di kiri kanan jalan.
Lebih kurang dua puluh minit memandu selepas Genting Sempah, kami sudah berada di depan pintu pagar “Semanggol”, rumah kediaman Puan Ainon, SifuPTS yang budiman.. Saya memandu masuk ke kawasan tanah lapang di depan rumah itu.
Puan Ainon bergegas menyambut ketibaan kami dengan penuh mesra. Tidak lama kemudian kami ditunjukkan oleh pembantu Puan Ainon ke suatu kawasan di tepi sungai untuk berkelah dan mandi-manda.
Kami bentangkan tikar dan menjamu selera dengan bekalan makanan yang kami bawa. Selepas makan, anak-anak saya begitu gembira mandi dan bermain di dalam air sungai yang cetek tetapi jernih, segar dan nyaman itu.
Saya sempat meninjau keindahan alam semulajadi di sekitar kawasan itu. Setelah hampir waktu Zohor kami mengemas dan meninggalkan sungai yang dingin dan jernih itu, kerana hujan rintik-rintik telah mula turun.
Kami kembali ke Semanggol dan menunaikan solat Zohor di pondok yang disediakan. Selepas itu kami berbual-bual dengan Puan Sifu. Mengikut kata Puan Sifu, petang itu pelajar-pelajar UIA akan tiba bersama ahli-ahli Persatuan Orang-Orang Buta bagi mengadakan program semalaman di Semanggol.
Begitu ramai yang datang berkunjung dan mengadakan program di Semanggol hampir setiap hujung minggu. Malah Puan Sifu amat mengalu-ngalukan kedatangan mereka yang mengadakan program di rumah beliau.
Anak-anak saya pula gembira sekali bila dapat bermain dengan kucing-kucing Puan Sifu. Menurut beliau beberapa ekor kucing yang dibuang, beliau rawat dan beri perlindungan sehingga kucing-kucing itu sihat dan cantik bulunya.
Suasana kampong begitu aman dan tenteram, serta dingin dan nyaman. Ia pasti menggamit sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ untuk datang semula menikmati keindahan dan suasana damai di situ.
Kami minta diri dari Puan Ainon serta bertolak meninggalkan Semanggol setelah hari petang.
Terima kasih, Puan Sifu. Insya Allah kami akan datang lagi menikmati suasana hening dan nyaman di Semanggol.
Dalam perjalanan pulang, sebelum sampai di Genting Sempah sempat juga saya singgah di tepi jalan untuk mengutip pokok orkid liar dan paku-pakis dari tebing di situ untuk dijadikan perhiasan taman di rumah saya.
2 ulasan:
Sdr Alang: Semoga dari jernih alir air, dapat dikau lihat jua kilau kata dan baris ayat. Dan jika daku, selalu menjadi gelisah melihat kemilai sebegitu.
KSI
Huwaaa... cemburu, cemburu! Saya cemburu dgn Tuan Alang!
~zalisa maz~
Catat Ulasan