Sabtu, 17 Februari 2007

Kerajaan Perpaduan Palestin

Setelah bermesyuarat di Makkah, Abu Marzen mengarahkan Ismail Haniyeh menubuhkan kerajaan perpaduan Palestin.

Semoga sengketa di antara dua puak terbesar Palesin itu berjaya diredakan dan puak-puak Palestin berpadu membina negara Palestin merdeka.

Dan penentangan terhadap regim yahudi diteruskan dengan jayanya.

Semoga keberkatan yang diperolehi di kota lambang perpaduan umat Islam itu diterjemahkan kepada kekuatan Palestin.

Gong Xi Fa Cai



Sempena perayaan Tahun Baru China, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada pembaca kaum Tionghua sama ada yang beragama Islam atau yang bukan beragama Islam dan selamat bercuti kepada pembaca bukan kaum Tionghua Selamat Bercuti.

Semoga keamanan dan perpaduan kaum di negara kita kekal malah bertambah erat.

Bila memandu berhati-hati di jalan raya di hari cuti perayaan yang panjang begini kerana kita tidak mahu terlibat dengan kemalangan atau dikenakan saman. Asalnya hendak bergembira dengan keluarga berakhir dengan kedukaan pula...

Jumaat, 9 Februari 2007

Kepintaran UIC Somalia

Bagi kita yang tidak mengetahui maklumat sebenar, tentulah merasa hairan apabila salah seorang pemimpin tertinggi UIC Sheikh Shariff Sheikh Ahmad menyerah diri kepada pihak berkuasa Kenya, beliau tidak diserahkan kepada Amerika untuk dihantar ke Camp X-Ray di Teluk Guatanamo, Cuba.

Bukan itu sahaja, bahkan diplomat Amerika pula pergi menemui Shekh Shariff di sebuah hotel di Kenya dengan perlindungan dari polis Kenya.

Kita akan tertanya-tanya sudahkah Amerika menukar dasar permusuhan terhadap Islam dan pemimpin-pemimpin Islam? Atau, apa kehebatan yang ada pada Kenya sehingga Amerika tidak mengugut Kenya supaya menyerahkan Sheikh Shariff kepada mereka (Amerika)?

Setelah hampir sebulan barulah mula terbongkar berita sebalik peristiwa itu. Rupa-rupanya sebilangan anggota tentera Amerika yang menceroboh masuk ke Somalia semasa pihak UIC berundur dari bandar selatan, Kismayo, telah ditawan oleh pihak UIC.

Sudah tentu pihak UIC dan Sheikh Shariff telah membuat perancangan rapi dengan menggunakan tawanan itu sebagai 'bargaining chips' bagi pemimpin-pemimpin UIC berunding dan bergerak bebas.

Pintar juga sepak terajang politik dan strategi ketenteraan pemimpin-pemimpin UIC. Tidak sangka rakyat Somalia yang majoritinya hanya berkain pelikat sebagai pakaian harian pun lebih bijak daripada rakyat negara-negara umat Islam yang berseluar serta berserban dan berjubah.

Ahad, 4 Februari 2007

Palestin Terbakar

Bila kita lihat apa yang berlaku di Palestin ketika ini, sebagai orang Islam kita tentu merasa dukacita kerana pergolakan antara puak Hamas dan Fatah telah memakan korban seberapa ramai dari kedua-dua belah pihak.

Semasa dulu pertembungan masih dapat dibendung dengan kompromi antara dua pihak, dengan menumpukan fokus kepada penentangan terhadap regim Yahudi. Tetapi nampaknya kini semua pertimbangan semacam tidak dihirau oleh mereka.

Kedua pihak perlu menghentikan pertempuran dan berunding semula dengan suasana persaudaraan.

Jika terus bertempur maka kedua pihak akan rugi. Yang untung hanyalah musuh kepada kedua-dua belah pihak iaitu: regim Yahudi.

Sabtu, 3 Februari 2007

Sepagi di Kampung Janda Baik





Pada pagi Sabtu 3 February 2007 saya berserta keluarga telah berkunjung ke Kampung Janda Baik. Lebih kurang setengah jam selepas melewati plaza tol Gombak berhampiran UIA, kami sampai di R & R Genting Sempah. Selepas terowong saya memandu keluar dari lebuhraya Karak menghala ke Kampung Janda Baik.

Jalan yang agak sempit, berbukit-bukit dan bengkang-bengkok begitu mencabar perhatian pemandu veteran seperti saya. Namun itu tidak menghalang saya menikmati kehijauan tumbuh-tumbuhan di kiri kanan jalan.

Lebih kurang dua puluh minit memandu selepas Genting Sempah, kami sudah berada di depan pintu pagar “Semanggol”, rumah kediaman Puan Ainon, SifuPTS yang budiman.. Saya memandu masuk ke kawasan tanah lapang di depan rumah itu.

Puan Ainon bergegas menyambut ketibaan kami dengan penuh mesra. Tidak lama kemudian kami ditunjukkan oleh pembantu Puan Ainon ke suatu kawasan di tepi sungai untuk berkelah dan mandi-manda.

Kami bentangkan tikar dan menjamu selera dengan bekalan makanan yang kami bawa. Selepas makan, anak-anak saya begitu gembira mandi dan bermain di dalam air sungai yang cetek tetapi jernih, segar dan nyaman itu.

Saya sempat meninjau keindahan alam semulajadi di sekitar kawasan itu. Setelah hampir waktu Zohor kami mengemas dan meninggalkan sungai yang dingin dan jernih itu, kerana hujan rintik-rintik telah mula turun.

Kami kembali ke Semanggol dan menunaikan solat Zohor di pondok yang disediakan. Selepas itu kami berbual-bual dengan Puan Sifu. Mengikut kata Puan Sifu, petang itu pelajar-pelajar UIA akan tiba bersama ahli-ahli Persatuan Orang-Orang Buta bagi mengadakan program semalaman di Semanggol.

Begitu ramai yang datang berkunjung dan mengadakan program di Semanggol hampir setiap hujung minggu. Malah Puan Sifu amat mengalu-ngalukan kedatangan mereka yang mengadakan program di rumah beliau.

Anak-anak saya pula gembira sekali bila dapat bermain dengan kucing-kucing Puan Sifu. Menurut beliau beberapa ekor kucing yang dibuang, beliau rawat dan beri perlindungan sehingga kucing-kucing itu sihat dan cantik bulunya.

Suasana kampong begitu aman dan tenteram, serta dingin dan nyaman. Ia pasti menggamit sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ untuk datang semula menikmati keindahan dan suasana damai di situ.

Kami minta diri dari Puan Ainon serta bertolak meninggalkan Semanggol setelah hari petang.

Terima kasih, Puan Sifu. Insya Allah kami akan datang lagi menikmati suasana hening dan nyaman di Semanggol.

Dalam perjalanan pulang, sebelum sampai di Genting Sempah sempat juga saya singgah di tepi jalan untuk mengutip pokok orkid liar dan paku-pakis dari tebing di situ untuk dijadikan perhiasan taman di rumah saya.