Rabu, 23 September 2009

SMS yang membuat hati sayu...

"...Naim tak nak makan, takut kena tinggal bas. Tadi dia sedih sebab tinggalkan abang cik dan ayah. 'Naim tak pernah tinggalkan dua orang itu sekali gus,' katanya..."

Begitulah SMS yang diterima melalui telefon bimbit saya pada petang tadi.

Itulah akibat dua kenduri diadakan pada tarikh yang sama, sedangkan jarak antara kedua-dua tempat diadakan kenduri tersebut agak jauh juga.

Satu kenduri diadakan di:


Kenduri yang satu lagi pula diadakan di:


Oleh kerana kedua-dua kenduri perlu dihadiri oleh kami, maka demi memenuhi kedua-dua jemputan itu maka kami berpecah dua, saya ke Pantai Barat manakala isteri saya ke Pantai Timur.

Saya memandu ke utara bersama anak saya, Hafiz (abang cik), manakala isteri saya pula menaiki bas ekspres ke Darul Iman bersama Ahmad Naim. Oleh yang demikian berpisahlah Naim dengan ayah DAN abang cik...

Selama ini kalau saya bekerja di luar daerah atau sekali sekala ke luar negeri, abang cik masih ada di rumah. Ketika abang cik keluar daerah demi memenuhi kegiatan sekolah, saya ada di rumah. Maknanya belum pernah kedua-dua (ayah dan abang cik) keluar daerah pada masa yang sama (sekali gus)!

Hari ini adalah 'Hari ini dalam sejarah' bagi Ahmad Naim, kerana dia berpisah dengan ayah dan abang cik 'sekali gus.'

Kasihan Ahmad Naim!

Namun saya percaya hati Ahmad Naim yang sayu itu akan segera terubat sebaik sahaja dia sampai di rumah Along di Permaisuri, seperti kata abang cik: "Sekejap sahaja dia sedih tu.. sampai di rumah Along bila dia menonton kartun di Astro, lupalah sedih dia..."

Saya bersetuju dengan kata-kata abang cik itu... !

[Entri dibuat dari bilik penginapan sederhana berdekatan dengan hentian bas Sahab Perdana Alor Setar -- ya, Wi-Fi percuma disediakan di penginapan sederhana ini..]

Sabtu, 19 September 2009

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Ahad, 13 September 2009

Tembikai susu manis rasanya



Tembikai susu atau honeydew melon memang manis dan lazat rasanya.

Kalau ditanam sendiri tentu akan memuaskan hati.

Akan saya cuba menanam tembikai susu.

Sabtu, 12 September 2009

"Menyerang kapal dagang"



Kapten Dolah mengeluarkan pistol automatik dari sarung di pinggangnya, sambil berkata kepada para pengikutnya, “Semua bersedia?”

Semua lanun memegang kemas senapang automatik masing-masing, seraya menjawab “Siap, kapten!”

Kapten Dolah mencuit bahu Jurumudi Ali dan berkata, “Jurumudi, kita gerak sekarang!”

Jurumudi Ali serta-merta menjawab, “Ai, ai, kapten!” Dia menekan butang starter bot laju mereka dan enjin mengaum sebaik sahaja dihidupkan.

Kapten Dolah menudingkan jarinya ke arah Hassan dan membentak, “Hassan, kamu akan tunggu dalam bot! Bantu jurumudi. Faham!”

Hassan terdiam. Tidak menjawab.

Kapten Dolah segera membentak, “Hassan! Kenapa diam? Kamu takut?”

Hassan menelan air liur dan menjawab, “Saya bimbang, tuan.”

“Hassan, awak jangan takut,” kata Jurumudi Ali, sambil memegang bahu Hassan. “Awak tunggu dalam bot dengan saya.”

Hassan mengangguk-anggukkan kepalanya dan menjawab, “Baik, tuan.”

Kapten Dolah tersenyum sambil mengangkat tangannya yang memegang pistol itu seraya berkata, “Ali! Gerak sekarang!”

“Baik, kapten!” jawab Jurumudi Ali sambil terus menggerakkan bot laju itu ke arah kapal dagang yang menghampiri hujung tanjung itu.

-------------------

Tiada seorang pun yang bercakap semasa bot itu meluncur laju membelah laut menuju ke arah kapal dagang. Semburan air laut terpercik ke muka Hassan. Dia memegang kemas railing di tepi bot itu.

Mentari rendah di ufuk barat. Suasana petang yang tenang dan nyaman itu seolah-olah tidak mempedulikan suatu peristiwa yang bakal berlaku di hujung tanjung itu.

Kapal dagang bergerak perlahan ketika menghampiri laluan sempit itu. Ketika itu juga bot lanun sampai dan menghampiri kapal dagang itu. Suasana damai petang yang damai itu juga seolah-olah membawa ketenangan juga di kalangan anak kapal itu.

Sebaik sahaja bot itu menghampiri kapal dagang, setiap orang lanun, termasuk Kapten Dolah menyarungkan topeng jenis pemain ski (skier mask). Deruman enjin kapal dagang itu menenggelamkan bunyi enjin bot laju lanun itu.

Kapten Dolah berkata, “Ingat! Kita ada masa sekitar lapan minit sahaja!”

“Baik, kapten!”

Kapten Dolah memberikan isyarat supaya tali dicampak ke bahagian tepi kapal. Sebuah sauh kecil yang terpasang di hujung tali yang panjang ditembak dengan sepucuk senapang harpoon. Dengan sekali tembak sahaja sauh yang terikat tali itu tersangkut di railing di bahagian starboard dan lanun yang pertama memanjat naik ke kapal dengan menggunakan tali itu. Sungguh handal, ibarat seekor monyet sahaja layaknya. Senjata automatik yang tersandang di belakang tidak menghalang ketangkasan dia memanjat tepi kapal sehingga naik ke atas.

Seorang lagi lanun memanjat, dan seorang lagi. Dan seorang lagi. Yang terakhir naik ialah Kapten Dolah. Kapten Dolah terus memanjat tangga menuju ke bridge (pusat kawalan kapal) dengan di iringi sembilan orang lanun.

Kapten Dolah memerintah kepada tiga orang anak buahnya, “Kamu, kamu dan kamu berkas pegawai di bridge, jangan biarkan mereka menggunakan sistem komunikasi! Lekas!”

Tiga orang lanun yang diarahkan terus menyerbu ke bridge. Kapten Dolah dan enam orang lagi menyerbu kabin kediaman nakhoda kapal.

Kapten mengarahkan tiga orang menyerbu ke kabin ketua steward (chief steward). Dia berkata, “Dalam kapal dagang chief steward dan master (nakhoda) yang simpan duit dalam peti besi.”

“Baik, tuan!” ketiga-tiga anak buahnya sambil menyerbu kabin chief steward.
Kapten Dolah menyergah nakhoda kapal, “Cepat! Buka peti besi!”

Sebaik sahaja terpandang ke arah Kapten Dolah dan tiga orang lanun yang memakai skier mask dan lengkap bersenjata itu, dengan muka yang pucat lesi dan tangan menggigil, nakhoda memutarkan kombinasi kunci peti besi sehingga terbuka.

Kapten Dolah mengeluarkan beg kain berwarna hitam dan menyerahkannya kepada salah seorang orangnya. Dia menuding jari ke arah peti besi yang sudah terbuka itu. Perompak itu dan dua orang lagi mengambil wang tunai dari peti besi. Dalam masa tidak sampai satu minit kesemua wang tunai dari peti besi nakhoda licin di sapu dan diisi ke dalam beg hitam itu.

Ketiga-tiga orang lanun yang merampas wang tunai dari kabin chief steward sudah selesai dengan tugas mereka lalu bergegas ke arah tali yang tersangkut sauh kecil itu. Mereka mula turun menggunakan tali itu.

Kapten Dolah dan tiga lagi lanun bergegas meninggalkan kabin nakhoda dan berlari ke arah tepi kapal untuk turun ke bot yang sedai menanti di bawah.

Tiga orang lagi lanun yang mengawal di bridge pun segera memutuskan kabel radio komunikasi kapal serta telefon satellite yang ada di bridge. Mereka juga bergegas meninggalkan bridge untuk turun ke bot laju yang dijaga oleh Jurumudi Ali dan Hassan.

Seorang lanun sudah turun ke dalam bot.

Tiba-tiba hon kapal berbunyi dengan nyaring. Apabila bunyi hon itu terhenti, kedengaran dari pembesar suara kapal, “Kami polis marin! Awak semua sudah dikepung! Baik awak menyerah!”

Belum sempat Kapten Dolah sampai ke tali di tepi kapal satu suara mengherdiknya supaya menyerah. Apabila dia menoleh dia nampak beberapa orang berpakaian komando PASKAL (Pasukan Khas Laut) dan bertopeng skier mask.

Kapten Dolah tidak menjawab, tetapi terus meniarap dan menembak pistol automatiknya ke arah anggota PAKSAL. Bang! Bang! Bang!

Seorang anggota PASKAL jatuh terbaring berlumuran darah.

Anak buah Kapten Dolah yang lain pun meniarap dan melepaskan tembakan ke arah anggota PASKAL. Bang! Bang! Bang!

Kesemua anggota PASKAL meniarap dan membalas tembakan. Tiga orang lanun yang menjadi korban di awal pertarungan terbujur kaku. Darah merah mengalir membasahi tepi dek kapal itu.

Anggota lanun yang sempat turun ke bot yang dijaga oleh Jurumudi Ali dan Hassan berkata, “Cepat kita lari dari sini! Jika tidak, kita pun kena.”

Sebelum Jurumudi Ali menggerakkan bot itu, dua buat bot kecil merapati bot mereka dan beberapa orang anggota PASKAL tangkas melompat ke atas bot mereka dengan senjata tempur jarak dekat automatik. Lanun itu mengacukan senjata automatiknya ke arah salah seorang anggota PASKAL, tetapi belum pun sempat dia memetik trigger salah seorang anggota PASKAL menembak tangannya. Senjata lanun itu terjatuh dari tangannya.

Ketua anggota PASKAL menjerit kepada Jurumudi Ali dan Hassan, “Angkat tangan! Atau kami tembak!”

Jurumudi Ali mengangkat kedua tangan dan berkata kepada Hassan, “Angkat tangan, Hassan. Jangan takut.”

Hassan mengangkat tangannya yang pucat dan mengigil itu.

“Jangan tembak dia, tuan,” Jurumudi Ali merayu kepada ketua anggota PASKAL. “Dia masih budak-budak.”

Ketua anggota PASKAL mengherdik mereka, “Diam! Semua jangan bercakap!”

Anggota PASKAL memberkas dan menggari Jurumudi Ali, Hassan dan lanun yang cedera di tangan itu.

Ketua anggota PASKAL itu memandang ke arah Hassan. Dia berkata, “Hairan betul saya. Umur awak ini muda lagi. Macam mana awak boleh terlibat dengan kumpulan lanun ini?”

Hassan diam tidak menjawab.

Di atas kapal dagang pasukan PASKAL dan pihak lanun berbalas tembakan beberapa minit. Bunyi tembakan yang bertubi-tubi dari senjata automatik memecah ketenangan di petang yang nyaman itu. Jeritan burung-burung camar laut di hujung tanjung dan unggas lain yang terbang bertempiaran dari hutan berhampiran seolah-olah meraikan suatu pesta penyembelihan yang menghasilkan darah yang berwarna merah, pekat yang mengalir membasahi atas dek kapal dagang itu.

Tiba-tiba bunyi tembakan senjata automatik terhenti. Yang masih kedengaran hanyalah desiran ombak yang memukul pantai di hujung tanjung itu serta nyanyian camar laut dan unggas yang kini menyambut ketibaan senjakala.

Sementara itu di atas bot lanun, walkie-talkie ketua anggota PASKAL yang memberkas Jurumudi Ali, Hassan dan anggota lanun yang cedera itu berbunyi, “Semua sudah selesai, tuan. Over.”

Ketua anggota PASKAL mencapai walkie-talkie dan menjawab, “Bagus, berapa orang anggota kita cedera? Over.”

“Seorang cedera teruk di tangan, tuan. Over.”

“Pihak musuh? Over.”

“Tiada yang selamat, tuan. Over.”

“Baiklah. Serahkah tugas segera.Over.”

“Baik, tuan. Over and out.”

Sebuah bot kuasa tinggi berlogo Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APM) menghampiri bot lanun. Ketua anggota PASKAL mengangkat tabik hormat ke arah salah seorang pegawai APM .

Ketua anggota PASKAL berkata, “Tugas kami sudah selesai, tuan.”

Pegawai APM menjawab, “Tahniah, tuan. Tidak sia-sia kerja kita berbulan-bulan.”

“Boleh kita mulakan serahan tugas, tuan?”

“Silakan.”

Proses serahan tugas singkat sahaja. Tidak lama lepas itu, sebuah bot laju tiba dan mengangkut bot-bot kecil PASKAL dan membawa kesemua anggota PASKAL meninggalkan tempat kejadian.

Salah seorang anggota APM bertanya pegawainya, “Kita tak dapat tenguk pun muka mereka. Mereka pun tidak tunggu lama, tuan?”

“Begitulah tugas pasukan PASKAL, Halim. Cekap, tangkas dan pantas. Kalau lanun biasa kita pun boleh selesaikan. Tetapi ini kumpulan hard-core. Ganas. Tidak takut mati. Sebab itulah kita minta bantuan PASKAL.”

Mentari sudah hampir tenggelam di ufuk barat. Bot laju pasukan PASKAL sudah lama hilang dari pandangan. Anggota pasukan APM mengangkat kesemua mayat lanun dan dimasukkan ke dalam plastik hitam yang tebal dan dikumpulkan untuk di bawa ke darat. Jurumudi Ali, Hassan dan lanun yang cedera di tangan itu di kurung di dalam lokap kapal APM.

Dalam kegelapan malam itu bot kuasa tinggi APM meluncur laju menuju ke pantai. Apabila bot menghampiri jeti APM , hujan turun dengan lebatnya.

Hassan teringat pesanan gurunya, Ustaz Solihin, waktu hujan turun adalah antara masa doa seseorang hambanya dimakbulkan. Hassan duduk di bangku dingin lokap dalam bot APM itu dan dalam hatinya dia berdoa, memohon perlindungan Allah.

[Petikan novel "Hujan Semalam" yang belum terbit]