Sabtu, 29 Mac 2008

Raja Berdaulat

Mungkin ada di antara kita menyangka memorandum rakyat yang disampaikan oleh para pemimpin BERSIH pada 10 November 2007 tidak mungkin membawa kesan yang besar terhadap suasana politik tanah air, kerana kita menyangka raja atau sultan kita sekadar menerima apa saja nasihat dari para pemimpin politik parti pemerintah.

Namun kita gembira kerana rupa-rupanya Yang DiPertuan Agong memainkan peranan beliau yang sewajarnya, terutama selepas berlalunya peristiwa perlantikan MB Trengganu.

Allahu'akbar! Allahhu'akbar! Allahu'akbar! Daulat tuanku!

Dapat isteri kedua menjelang umur 50 tahun?

"Apa plan Abang Haji menjelang umur 50 tahun?"
"Abang nak keluarkan duit dan nak lupuskan hutang kad kredit."
"Tak kan itu saja? Kan banyak duit tu..."
"Adalah perancangan kita. Takkan lah abang nak cerita semuanya."
"Ala, Abang Haji. Dengan saya pun nak berahsia."
"Eh, kamu ni! Kau tu adik ipar abang. Kalau abang ceritakan, nanti kau pula dedahkan lebih-lebih kat Kak Hawa kamu tu."
"Abang Haji, selama ini pun bukankah saya yang nak rekomenkan kawan pejabat saya? Masih tak percaya kepada saya?"
"Bukan abang tak percaya. Cuma mulut kau tu, selalu sangat tersasul."
"OK, tapi abang jangan tunggu lama-lama. Kawan pejabat saya tu asyik kirim salam kat Abang Haji saja.." (BERSAMBUNG)

Rabu, 26 Mac 2008

Masihkah kau ingat?

Masihkah kau ingat: Kaum sebangsa yang menindas bangsa sendiri semasa berkuasa dahulu?

Masihkah kau ingat: di Selangor para ustaz tidak dibenarkan menyampaikan ajaran Islam di dalam masjid dan surau?

Masihkah kau ingat: masjid dan surau dirampas dari AJK yang dilantik oleh anak kariah semata-mata kerana perasaan hasad dengki?

Semasa berkuasa, amboi, lupa diri, bangsa sendiri ditindas. Nasihat sudah tidak diterima kerana kesombongan sudah melanda diri.

Maka rakyat pun sampaikan nasihat dengan cara yang lebih berkesan, iaitu memberi undi kepada pihak yang lain... Dan sekarang apabila sudah ditendang keluar dari takhta di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, masihkah lagi mahu menyalahkan rakyat?

Itulah, apabila terlalu lama berkuasa, pemerintahan disangka hak mutlak mereka sehingga Hari Kiamat... (maaf terkasar bahasa).

Ahad, 9 Mac 2008

PRU – 12 MALAYSIA 2008: Pelik tetapi benar…



Setelah diketahui keputusan pilihanraya ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008, hati saya gembira, tetapi pada masa yang sama, saya masih tidak percaya perkara ini boleh berlaku. Semuanya kuasa Allah, tetapi apabila saya menatapi berbagai maklumat di media, saya kagum dengan beberapa fakta yang boleh dikira pelik tetapi benar telah berlaku pada PRU-12. Antaranya:

1. Media perdana dikuasai oleh kerajaan, tetapi dengan beberapa sesi ceramah dan penggunaan internet, khususnya blog, pakatan PAS/PKR/DAP berjaya menyampaikan mesej kepada pengundi;
2. Kerajaan beriya-iya menyambung kontrak Pengerusi SPR sehingga ke tahap meminda perlembagaan kerana semata-mata untuk seorang warga emas yang berada pada penghujung khidmatnya, walau pun jelas perbuatan itu menyalahi semangat demokrasi.
3. Perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 dan dua minggu berikutnya perhimpunan Hindraf pula, mendapat sambutan begitu menggalakkan dari pelbagai masyarakat Malaysia. Selepas itu berlaku gelombang sokongan rakyat pelbagai kaum kepada pakatan PAS/PKR/DAP dengan disokong oleh para blogger.
4. MB Selangor Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada pegawai-pegawai PBT Selangor, dan akhirnya majoriti kerusi di Selangor disapu oleh pakatan PAS/PKR/DAP
5. Datuk Seri S. Samy Velu dan Khir Toyo diganggu ketika berucap dan di sekat oleh kaum India ketika bertemu rakyat, tetapi Samy masih mahu terus bertanding dalam pilihanraya.
6. Pilihanraya umum diadakan sebelum tarikh tamat tempuh larangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon pilihanraya.
7. PAS/PKR/DAP boleh bersetuju dengan formula 1-lawan-1 di kesemua kerusi yang dipertandingkan.
8. Manifesto ketiga-tiga parti pakatan BA serupa isi dan tujuannya.
9. Buat pertama kali ketiga-tiga kaum bersepakat dalam menyokong pakatan PAS/PKR/DAP, lebih-lebih lagi kaum India yang selam ini menjadi penyokong setia BN.
10. BN begitu yakin merampas Kelantan, manakala Pas pula yakin dapat merebut Trengganu dan Perlis, tetapi BN masih berkuasa di Trengganu dan Perlis, tetapi sebaliknya BN tumbang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
11. DAP mendapat bilangan kerusi yang terbanyak di Selangor dan Perak, tetapi PKR mendapat jawatan MB di Selangor, manakala Pas di Perak.
12. Pas meletakkan calon wanita India beragama Hindu di kerusi di Johor.
13. Pas memenangi kerusi di DUN Negri Sembilan dan Johor.
14. Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia rakyat berpeluang 2 buah kerajaan negeri yang diketuai Pas, sebuah yang diketuai PKR, dan sebuah negeri yang diketuai oleh DAP. Ini bererti rakyat dapat membuat perbandingan pemerintahan ketiga-tiga parti pembangkang dengan yang diperitah oleh BN
15. Buat pertama kali dalam sejarah parti pembangkang dapat menafikan majoriti 2/3 BN di Dewan Rakyat.

Rakyat telah bersuara !

Berikutan kemenangan parti-parti bukan BN di beberapa buah negeri di Semenanjung dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008, saya sempat mengutip beberapa komen dari pelbagai pihak tentang peristiwa bersejarah itu.

Penganalisis Politik Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof:
"Kehadiran Barisan Alternatif (BA) dalam memberikan cabaran kepada Barisan Nasional (BN) menunjukkan bahawa faktor Anwar masih lagi relevan. Kalau kita buka blog-blog dalam kalangan muda-mudi, kita akan dapati rakyat mencipta kejutan dalam pilihan raya kali ini dengan membekalkan saluran maklumat alternatif. Satu lagi yang menyebabkan kekalahan BN ialah kerana kempen-kempen anjuran RTM yang berat sebelah. Hal ini menyebabkan rakyat makin menyampah terhadap propaganda BN tersebut."

Dato Ruhanie Ahmad (mantan MP Parit Sulong):
"Menerusi analisa saya berasaskan komen-komen rakyat jelata yang diluahkan menerusi media internet sejak setahun yang lalu, punca utama BN era Abdullah kalah teruk adalah kepincangan Abdullah kepimpinan Abdullah, kedolak-dalikan kenyataan dan keputusan Abdullah, perilaku menantu Abdullah yang manipulatif dan umpama kadok naik junjung, dan juga persepsi umum bahawa Malaysia kini seolah-olah sudah digadaikan kedaulatannya kepada sebuah kuasa asing serantau yang tertentu."

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon:
"It is beyond our expectations. We accept the people’s verdict. (Kekalahan ini di luar jangkaan kami. Kami menerima keputusan rakyat.)"

Khairy Jamaluddin:
"We suffered a lot tonight, but we will fight back. (Kami teruk menderita malam ini, tetapi kami akan berjuang semula.)"

Datuk Seri S. Samy Velu:
"Bye." (semasa beliau meninggalkan para wartawan yang ingin menemu-bual beliau...)

A. Kadir Jasin:
"BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji, mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu-isu massa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah."

Datuk Husam Musa:
"Ini adalah revolusi rakyat. Rakyat bangkit dan bersatu. Mesej yang jelas kepada kerajaan ialah ‘Enough is enough’ (cukuplah!)."

Haji Mohamad Sabu:
""Faktor Mahathir" adalah antara sebab kemenangan PAS dan parti-parti pembangkang lain di Kedah. Faktor utama tidak dapat dinafikan lagi ialah kebangkitan pengundi-pengundi India dan Cina. Kebangkitan pengundi India dapat dilihat di beberapa kawasan seperti di Kulim dan Baling. Sikap mereka boleh dianggap faktor yang sangat penting. Kebangkitan pengundi Cina pula boleh dilihat kepada apa yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan misalnya, di mana calon kita, Mohd Nasir Mustafa menang."

Dato Ser Anwar Ibrahim:
"Saya bersyukur kepada Allah SWT. Dan merasa begitu bahagia kerana dikongsi bersama dengan semua kaum yang dianggap sebagai satu keluarga."

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat:
"Kemenangan yang diberi Allah kepada PAS, KeADILan dan pembangkang lain di Malaysia adalah kerana tindakan Umno/BN yang sudah cukup melampau. Rakyat Kelantan tidak mahu idealisme Umno yang hanya menumpukan kepada kebendaan, mengangggap rakyat buta huruf dan mahu memperbodohkan rakyat. Abdullah tolak Islam punca Allah beri kekalahan kepada Umno/BN."

(bersambung)

Khamis, 6 Mac 2008

Suatu Pagi Di Hari Mengundi

"Hassan, kau datang seorang saja mengundi. Mana Kak Zah?"
"Dia balik mengundi di Trengganu."
"Kak Yah mengundi di kampung juga?"
"Ya. Dia balik ke Kelantan."
"Kalau begitu Kak Ani balik kampung juga, ya?"
"Ha, ah. Dia balik ke Kedah."
"Kau pula kenapa tak balik mengundi di Kuala Pilah?"
"Em, aku rasa lebih selesa kalau aku mengundi di Lembah Kelang."
"Kenapa pula?"
"Kalau di negeri di selatan tanah air, aku rasa suasana tak meriah."
"Aku tenguk dalam tv meriah juga. Poster dan bendera banyak?"
"Ala, itu yang banyak satu warna."
"Maksud kau, bagus ada banyak warna?
"Sudah tentulah. Kalau satu warna sahaja, itu tidak boleh dipanggil pilihan."
"Nak panggil apa pula?"
"Apabila tak ada pilihan, bukan pilihanraya namanya. Lebih sesuai dipanggil 'pilihlah saya seorang saja!"

SELAMAT MENGUNDI!

Pilihan Raya Umum Ke-12 Malaysia

Assalamu'alaikum Sdr/Sdri Pembaca Budiman,

Pada 8 Mac 2008, pengundi Malaysia berpeluang menjalan tanggung jawab kepada negara.

Dengan ini saya mengucapkan selamat mengundi dan pilihlah calon-calon yang bersih dan terbaik, kerana sesungguhnya memilih wakil dan pemimpin yang baik itu salah satu daripada amalan yang baik.

Demi masa depan negara dan anak cucu kita, pilihlah dengan bijaksana.

SELAMAT MENGUNDI!