Selasa, 21 Februari 2012

Teknik Aquaponics sungguh memikat!

Menanam sayuran dan pokok-pokok adalah aktiviti yang memberikan kepuasan kepada jiwa saya.

Sebelum ini saya sudah terlibat dengan penjagaan orkid sehingga saya berjaya membangunkan blog orkid, Penggemar Orkid Malaysia.

Kini pun saya masih menjaga beberapa pasu orkid serta menanam beberapa jenis tumbuhan di dalam pasu dan polybag. Daun tumbuhan itu sentiasa menghijau kerana saya menyiramnya dengan air basuhan beras hampir setiap hari.

Sekarang saya tertarik pula dengan pertanian mengikut kaedah aquaponics.

Teknik ini adalah kombinasi antara akuakultur, yakni pembelaan ikan dalam tangki, dengan hidroponik, iaitu menanam sayur di dalam air.

Dari dua teknik ini terbitlah istilah aquaponics.

Saya masih dalam tahap pembacaan dan kajian sebelum membuat keputusan untuk mencuba teknik ini.

Sebagai permulaan saya lakarkan rajah ringkas memaparkan teknik aquaponics (ihsan dari laman bincang.net):

Antara gambar menarik paparan teknik aquaponics adalah ihsan blog my home sweet home:



Sebagai permulaan, antara sumber rujukan utama adalah blog pakar rujuk aquaponics, Afnan's Aquaponics dan Mahfudz' Backyard Aquaponic

Kelebihan teknik aquaponics ialah sistem kitar semula di antara bahan buangan dari tangki belaan ikan dipam ke petak tanaman sayuran/tumbuhan dengan air bersih yang dialirkan semula dari petak tanaman ke dalam tangki belaan ikan.

Penyelesaian kepada dua masalah, yakni bahan buangan tangki ikan dan penggunaan baja dalam tanah tanaman, dalam satu teknik pertanian.

Hasilnya pula ialah kita dapat sayur dan ikan sebagai sumber makanan.

Menarik, bukan?

Selasa, 3 Januari 2012

Aku sayang padamu

Dengarkanlah dan hayati melodinya.
Berpuluh orang ahli orkestra biola menggesek biola;
Menghasilkan irama indah menusuk kalbu;
Manakala biduanita jelita mendendangkan lirik syahdu;
Tidakkah hatimu terharu;
Lalu rindumu menjadi semakin mendayu-dayu...?



Interteks: Indahnya rindu

"SENI SEVIYORUM"

Aku sayang padamu
tidakkah kau mengerti
aku sayang padamu
belumkah kau memahami?

Duhai pujaan hati
siang malam silih berganti
dari senja hingga dinihari
kau tetap dirindui

Tika kau di sisi
bahagia tidak terperi
tidakkah kau tahu
aku sayang padamu?

Rindu mekar berseri
tersimpan di sanubari
biar pun cinta ini
tiada erti bagimu
aku sayang padamu
aku tetap menyayangimu.

[Terjemahan bebas lirik 'Seni Seviyorum' (Aku Sayang Padamu),
oleh Imran Yusuf]

Rabu, 21 Disember 2011

Abadinya cinta?

Bermusim
rindu ini
terpendam
hilang seketika
di bahang mentari


Aduhai
lemas
pesona
tenggelam
di dalam asyik


Kini
rindu kembali
kerna semalam
mimpi jadi realiti.

Ahad, 11 Disember 2011

Syabas penulis baru Grup Penulis Imran Yusuf


Seorang lagi penulis baru muncul dalam Grup Penulis Imran Yusuf.

Karya penulis baru ini membawa kisah Aween.

Aween sering bangun lewat dan menyebabkan adik serta abangnya terlewat ke sekolah. Walaupun sudah dinasihatkan berkali-kali, tetapi Aween tetap degil. Suatu hari, Kak Haida menghadiahkan Aween sebuah jam loceng dan Aween memberinya nama Tikitok. Ke mana saha Aween pergi, Tikitok pasti dibawa bersama. Lama-kelamaan, Aween dapat mendisiplinkan dirinya untuk bangun lebih awal.

Sebelum ini, selain Imran Yusuf, dalam grup penulisan ini ada Nia Imrani, Ima Imrani dan Masnah Md Ali.

Kini muncul Jia Siddiqi.

Syabas dan tahniah penulis Aween Tikitok, Nia Imrani dan Jia Siddiqi.

Rabu, 23 November 2011

Oh Sudan Ayahku Hero



Petikan dari novel kembara yang diolah dengan gaya penceritaan yang indah dan bermaklumat:

Pada ketika itu kedengaran pengumuman bahawa penerbangan Emirate EK733 ke Khartoum akan mengalami kelewatan lebih daripada satu jam. Katanya sebab kelewatan ialah kerana penerbangan sejak dari malam tadi yang lewat kerana gangguan hujan air batu serta banjir yang melanda Dubai.

Sambil mengambil sebuah buku dari beg, Encik Mustafa berkata, “Lebih eloklah kita membaca sementara menunggu penerbangan kita.”

Zaid juga mengambil sebuah buku lalu berkata, “Mujurlah saya membawa novel remaja kegemaran saya ini. Dapatlah mengisi masa menunggu ini dengan bermanfaat.”

Dalam masa lebih sejam mereka membaca semakin ramai penumpang yang tiba di bala berlepas itu. Tidak lama kemudian para penumbang dibenarkan menaiki menaiki bas lapangan terbang yang membawa mereka ke pesawat jenis Airbus A-340 milik syarikat penerbangan Emirate yang sedia menunggu.

Semasa menaiki bas itu Zaid berkata, “Ayah, besar sekali bas ini. Kalaulah digunakan di Kuala Lumpur, tentu tidak muat jalan raya.”

Ayahnya berkata, “Wahai anakku, bas ini memang dibuat khusus untuk digunakan di lapangan terbang sahaja. Jadi kalau digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA memang sesuai. Tambahan pula tempat duduk pemandunya di sebelah kiri.”

Bas yang mereka naiki sampai ke tangga pesawat. Sambil menaiki tangga pesawat Zaid memandang sekeliling untuk melihat suasan lapangan terbang. Landasan kapal terbang kelihatan sudah kering dan matahari sudah mula memancarkan cahayanya dan bahang panas sudah terasa. Kedinginan kabin Kelas Bisnes terasa mengalu-ngalukan para penumpang yang tadinya menunggu begitu lama di balai pelepasan.

Sebaik sahaja semua penumpang selesai mengambil tempat duduk masing-masing, penerbangan EK733 yang pada mulanya berlepas pada pukul 7.30 itu akhirnya berlepas pada pukul 9.00 pagi waktu tempatan.

Zaid dan ayahnya duduk di kerusi mereka, Zaid di tepi tingkap manakala ayahnya di sebelahnya. Krew kabin penerbangan Emirate, sama ada lelaki atau wanita, semuanya memberi layanan yang cekap dan profesional.

Zaid berkata, “Saya nampak krew kabin Emirate begitu pantas bertugas, malah mungkin lebih cekap daripada krew kabin penerbangan pesawat yang kita naiki dari Kuala Lumpur ke Dubai.”

Encik Mustafa berkata, “Persaingan dalam khidmat krew kabin memang sengit demi memenangi hati penumpang. Tambahan pula pesawat milik syarikat penerbangan milik Emirate terbang hampir ke semua destinasi utama di dunia. Mereka mampu memberikan khidmat yang memuaskan dengan bilangan krew kabin yang jauh lebih rendah daripada syarikat penerbangan lain.”

Pesawat yang mereka naiki bergerak mendaki ke paras 35,000 kaki dari permukaan bumi, sebelum lampu isyarat ‘pakai tali pinggang keledar’ dipadamkan.

Zaid melihat jam tangannya seraya berkata, “Pukul berapa kita akan sampai di Khartoum, ayah?”
Ayahnya menjawab, “Penerbangan ke Khartoum memakan masa empat jam 25 minit. Jadi kita dijangka sampai pukul 1.25 petang waktu Dubai, atau 12.25 tengah hari waktu tempatan.”

Zaid menanggalkan jam tangannya seraya berkata, “Berapa jam pula bezanya waktu Dubai dengan Sudan, ayah?”

Ayahnya menanggalkan jam tangannya seraya mengubah masa. Dia berkata, “Kita undurkan jarum jam selama satu jam, kerana Khartoum lima jam di belakang Kuala Lumpur, sedangkan Dubai empat jam di belakang Kuala Lumpur.”

Sambil mengubah waktu jam tangannya Zaid berkata, “Adakah Sudan mempunyai zon waktu yang lebih daripada satu? Setahu saya Sudan merupakan negara yang luas wilayahnya.”

Encik Mustafa berkata, “Sudan sebuah negara yang luas. Dalam benua Afrika, Sudan adalah negara yang paling besar sekali dari segi keluasan wilayahnya. Wilayah Darfur yang di sebelah barat Sudan itu pun lebih luas daripada negara Perancis dan hampir sama luas dengan Sepanyol. Walau bagaimana pun seluruh Sudan dikelaskan ke dalam satu zon waktu sahaja iaitu tiga jam selepas Waktu Greenwich Mean Time (GMT).”

Para krew kabin mengedarkan menu makanan untuk makan tengah hari kepada para penumpang Kelas Bisnes membuat pilihan makanan. Zaid memilih salad dan nasi serta kari ayam, manakala ayahnya memilih salad dan sup daging.

Tidak lama kemudian makanan tengah hari dihidangkan. Zaid dan ayahnya makan dengan berselera. Setelah selesai makan, mereka minum kopi dan salad buah-buahan.

Setelah tray makanan diangkut oleh krew kabin, Encik Mustafa melihat jam seraya berkata, “Sudah pukul 11.40 pagi dan sekarang sudah masuk waktu Zuhur bagi kawasan Khartoum dan kawasan yang sewaktu dengannya.”

Zaid berkata, “Awalnya waktu Zuhur! Pukul berapa pula waktu Asar?

Ayahnya menjawab, “Waktu Asar ialah pada pukul 2.51 petang.”

Ayah Zaid pergi ke bilik air untuk mengambil air sembahyang. Setelah dia selesai dia kembali ke tempat duduknya giliran Zaid pula untuk mengambil air sembahyang.

Encik Mustafa berkata, “Hati-hati apabila mengambil air sembahyang di tandas pesawat. Jangan biarkan air mercik dan membasahi lantai. Jangan sampai jatuh apabila membasuh kaki.”

Setelah Zaid kembali ke tempat duduk, ayah Zaid berkata, “Kita sembahyang di ruang kosong berhampiran pintu. Mujur juga kita menaiki kapal terbang di Kelas Bisnes, jadi ada sedikit ruang. Kita solat bergilir-gilir.”

Ayahnya membentangkan sejadah di ruang itu, lalu beliau sembahyang dahulu dan selepas itu Zaid pula yang bersembahyang. Solat Zuhur dan Asar secara jamak (kumpul) dan qasar (ringkas, iaitu dua rakaat Zuhur diikuti dengan dua rakaat Asar) dilakukan dengan teliti tetapi ringkas.

Selepas bersolat Zaid dan ayahnya duduk sambil memandang keluar tingkap. Tiba-tiba dengan tidak semena-mena kapal terbang terasa menjunam. Lampu isyarat ‘pakai tali pinggang keledar’ dinyalakan.

Kedengaran pengumuman dibuat melalui corong sistem pembesar suara pesawat, “Tuan-tuan dan puan-puan, harap maklum kita sedang melalui kawasan udara yang mengalami tekanan rendah dan angin kencang. Sila duduk di tempat duduk masing-masing dan pakai tali pinggang keledar...”

Sekali lagi kapal terbang bergegar dan menjunam seolah-olah merempuh awan yang keras. Wajah Zaid berubah dan ayahnya melihat muka anaknya yang pucat itu. Mulut Zaid kelihatan kumat-kamit menyebut sesuatu.

Ayah Zaid menepuk perlahan bahu Zaid seraya berkata, “Zaid jangan takut kerana suasana begini memang lumrah dalam penerbangan. Ayah telah beberapa kali mengalaminya.”

Zaid berkata, “Saya takut sebab itulah saya mengucap. Saya mahu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.”

Ayahnya tersenyum setelah mendengar kata-kata anaknya itu. Dia berkata, “Insya Allah, tiada apa yang akan terjadi. Selagi belum tiba masanya, berpantang maut sebelum ajal. Tuhan akan melindungi kita. Lagi pun doa orang yang sedang bermusafir (mengembara) akan dimakbulkan Tuhan.”

Tiba-tiba kapal terbang menjunam dengan pantas sekali sehingga ramai penumpang-penumpang wanita yang menjerit ketakutan. Pada ketika itu juga topeng oksigen jatuh berjuntaian dari kompartmen atas kepala para penumpang.

Selasa, 15 November 2011

Puan Ainon Mohd berjuang memandaikan bangsa (2)



Puan Ainon Mohd adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri penerbitan tanah air. Puan Ainon ialah anak kelahiran Kampung Jenjarom, Banting, Selangor.

Saya sudah menulis entri mengenai beliau dalam blog ini tidak lama dahulu DI SINI, namun kali ini saya mahu menulis lebih lanjut lagi tentang beliau.

Sebelum PTS ditubuhkan, Puan Ainon Mohd bertugas sebagai kakitangan awam di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan. Beliau memberikan latihan 'Lateral Thinking' yakni gagasan yang pernah dipopularkan oleh Tuan Edward de Bono. Pernah beliau berkata, "Edward de Bono bukan berbangsa Jawa, cuma ada peminatnya yang berbangsa Jawa...!"

Syarikat PTS Consultants Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 1988 bagi tujuan tersebut. PTS adalah singkatan bagi Professional Training Service. Selain menyediakan khidmat latihan, syarikat ini juga menawarkan khidmat konsultansi penerbitan, latihan suntingan teks dan susun atur huruf.

Selepas 12 tahun berkecimpung dalam industri latihan, Puan Ainon menubuhkan syarikat penerbitan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. bagi menerbitkan buku-buku dalam Bahasa Melayu untuk bacaan umum.

Pada waktu itu industri buku Melayu masih pada peringkat permulaan. Pengedar buku elit di bandar-bandar besar masih 'malu-malu' untuk menjual buku Melayu. Ramai juga penulis yang beranggapan menulis buku dalam

Bahasa Melayu 'tidak boleh cari makan.'

Dengan misi memandaikan bangsa sebagai kata-kata hikmatnya, PTS mempelopori penerbitan buku Melayu sehingga

PTS menjadi sebagai salah satu penerbit benchmark bagi syarikat-syarikat penerbitan lain di tanah air.

Kini, sebagai Chairman PTS, beliau masih memikul tugas melatih para penulis yang ingin menyerahkan karya untuk diterbitkan oleh PTS.

Puan Ainon Mohd dan suami serta rakan karib beliau, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, menjadi antara penggerak aktiviti sosial dan kebajikan yang paling aktif di Lembah Kelang. Kediaman mereka di Kampung Janda Baik sentiasa menjadi pusat kegiatan kebajikan untuk semua lapisan masyarakat.

Buat masa ini antara projek kebajikan yang beliau kendalikan ialah untuk kebajikan Orang Asal sekitar Bentong dan umat Islam di Kemboja. Terbaru, yakni semasa entri ini ditulis, ialah projek sedekah beras untuk Hari Raya Korban bagi umat Islam Kemboja.

Projek melibatkan industri training pula ialah Projek Kajian Hadith Psikologi, yang mana dibuat bagi menyediakan buku manual training bagi modul "Mengubah Tingkah Laku Cara Nabi Muhammad".

Perspektif falsafah serta pemikiran Puan Ainon Mohd dalam industri penerbitan boleh diikuti dalam blog UNIKA DI SINI; manakala mengenai bisnes pula DI SINI.

Sabtu, 22 Oktober 2011

MISKIN BERSAUDARA

“Wahai saudara, berikanlah saya sedikit wang,” begitulah lebih kurang kata-kata wanita yang berpakaian lusuh dan berdebu yang menemui kami sebaik sahaja kami keluar dari Masjid Saudi selepas selesai solat Jumaat.

Di wajahnya terbayang kesusahan dan kesedihan yang amat sangat. Dia salah seorang daripada beberapa orang peminta sedekah yang menunggu jemaah keluar dari masjid selepas solat Jumaat.

Telah banyak kali saya temui peminta sedekah menunggu di depan masjid selepas solat Jumaat di tanah air. Tetapi pada petang itu bila keluar dari Masjid Saudi, berbeza sekali rasa simpati terhadap wanita itu.

Yang membuatkan hati saya tersentuh ialah perkataan pertamanya iaitu: “Ya akhi,” yang membawa maksud: “Wahai saudara.” Tentunya dia beragama Islam, dan bila digunakan perkataan “Ya Akhi” membawa implikasi bahawa dia meminta sedikit wang dari saya sebagai seorang “saudara”, sedangkan memanglah orang-orang yang beragama Islam itu bersaudara.

Saya bernasib baik kerana Allah kurniakan saya pekerjaan dengan pendapatan yang lumayan dan mampu hidup selesa. Walau pun tidak hidup mewah tetapi hidup senang dan selesa. Sedangkan seorang saudara seagama dengan saya hidup miskin melarat, berpakaian usang, lusuh dan berdebu.

Berani saya mengaku sebagai seorang Islam sedangkan membiarkan mempedulikan seorang saudara seagama dengan saya meminta pertolongan.

Ketika itu saya rasa sayu dan dada saya terasa sebak. Tidak dapat menahan sehingga air mata saya menitis. Mungkin juga baru sahaja lepas solat Jumaat, maka hati telah “bersih” dan belum dikotori hal-hal keduniaan, maka hati menjadi lembut dan perasaan belas kasihan menguasai diri.

Di Khartoum terdapat ramai peminta sedekah dan pengunjung tidak akan terlepas dari terjumpa para peminta sedekah, budak-budak remaja berkaki ayam dan berpakaian lusuh dan berdebu.

Walaupun kelihatan kemiskinan di merata tempat di sekitar Khartoum, tetapi mengikut perangkaan jenayah Khartoum merupakan antara bandaraya yang paling aman di dunia. Mungkin kerana mereka berpegang teguh dengan Islam dan mungkin juga kerajaan Sudan menjalankan undang-undang kanun jenayah Islam, maka ‘bakal-bakal’ penjenayah merasa gerun dan takut melakukan jenayah seperti mencuri, merompak, ragut dan sebagainya.

Teman yang telah setahun lebih bertugas di Khartoum mengatakan beliau sendiri membawa wang dengan jumlah yang banyak tanpa ditemani oleh pengawal peribadi atau ‘security escort’, sedangkan duit yang beratus ribu SD (Sudanese Dinar)(Berpuluh ribu dollar Amerika) yang diikat dengan getah itu tidak pun dibawa di dalam beg tetapi dikilik dengan tangan sahaja ketika keluar dari bank. Walaupun terdapat ramai para peminta sedekah, tetapi jarang sekali terdengar berita rompakan atau kecurian.

“Hati-hati, tuan,” kata pemandu kami yang sudah tiba menjemput kami. “Ramai yang meminta hari ini. Kalau tuan beri pada seorang, nanti yang lain akan serbu kita.”
Nasihat pemandu itu ada munasabahnya juga. Bukan tidak hendak beri sedikit bantuan tetapi akan diserbu yang lain pula.

Saya meminta teman yang sudah lama di Khartoum itu memberikan sedikit wang kepada wanita tersebut sebaik sahaja membuka pintu kenderaan pacuan empat roda untuk pulang ke pangsapuri.

Beliau menghulurkan wang sebanyak SD200 kepada wanita berpakaian lusuh dan berdebu itu dan kami segera masuk ke dalam kenderaan dan menutup pintu.
“William, marilah hantar kami pulang.”

“Baik, tuan,” jawab William, pemandu kami.

Tatkala kenderaan perlahan-lahan beredar meninggalkan masjid Saudi, saya menoleh ke belakang dan Nampak wanita tadi memegang erat wang tadi sambil memandang ke arah kenderaan kami dengan tersenyum gembira.

Ahad, 4 September 2011

Novel remaja: Oh Sudan! Ayah Saya Hero



Teaser: CEMAS DI UDARA

Sekali lagi kapal terbang bergegar dan menjunam seolah-olah merempuh awan yang keras. Wajah Zaid berubah dan ayahnya melihat muka anaknya yang pucat itu. Mulut Zaid kelihatan kumat-kamit menyebut sesuatu.

Ayah Zaid menepuk perlahan bahu Zaid seraya berkata, “Zaid jangan takut kerana suasana begini memang lumrah dalam penerbangan. Ayah telah beberapa kali mengalaminya.”

Zaid berkata, “Saya takut sebab itulah saya mengucap. Saya mahu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.”

Ayahnya tersenyum setelah mendengar kata-kata anaknya itu. Dia berkata, “Insya Allah, tiada apa yang akan terjadi. Selagi belum tiba masanya, berpantang maut sebelum ajal. Tuhan akan melindungi kita. Lagi pun doa orang yang sedang bermusafir (mengembara) akan dimakbulkan Tuhan.”

Tiba-tiba kapal terbang menjunam dengan pantas sekali sehingga ramai penumpang-penumpang wanita yang menjerit ketakutan. Pada ketika itu juga topeng oksigen jatuh berjuntaian dari kompartmen atas kepala para penumpang...

Baca entri tentang buku ini laman web penerbit, PTS Professional, DI SINI.

Isnin, 13 Jun 2011

Sebuah lagi kapal pengiring untuk MISC Berhad

Sebuah lagi kapal pengiring bagi mengiringi kapal dagang milik syarikat perkapalan negara, MISC Berhad, akan dilancarkan dalam usaha membanteras serangan lanun di Teluk Aden dan perairan Somalia.

Panglima Tentera Laut Di Raja Malaysia (TUDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengumumumkan demikian DI SINI.

Sebelum ini kapal pengiring Bunga Mas Lima (BM5) sudah pun beroperasi sebagi kapal pengiring.

Pada tahun 2008 dua buah kapal milik MISC Berhad dirampas lanun di Perairan Somalia dan Teluk Aden.